Mempamerkan lapan koleksi rekaan berkonsepkan fesyen dan seni, melalui ekspresi lensa estetik lapan pereka fesyen muda Malaysia.

Pertunjukan fesyen ini adalah bawah seliaan pensyarah dan perunding fesyen yang disegani, iaitu Faizal Hamid.

Menurut Faizal, karya koleksi ini merupakan komentar sosial pereka muda terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka dalam medium fesyen.

“Persembahan yang cukup artistik dan unik ini adalah juga gelanggang pereka pelapis ini berkongsi visi kontemporari, segar dan eksplorasi inovasi teknik dan bahan dalam penghasilan koleksi Art To Wear yang mengimbangi aspek estetik dan komersial.

“Lapan orang pereka muda mempersembah koleksi eksklusif rekaan berkonsep Art to Wear pelbagai inspirasi. Setiap koleksi mengutarakan empat rekaan lengkap padanan dan aksesori yang unik dan penuh artistik.

“Koleksi fesyen yang dipertonton ini memperlihat ketelitian dan kerja keras daripada pereka-pereka berbakat yang akan mewarnai dunia fesyen tanah air,” katanya yang ditemui pada acara tersebut baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Galeri Petronas, Intan Razak; Ketua Operasi Galeri Petronas, Dzalina A. Manan; Penolong Naib Canselor Institut Kemajuan Mutu dan Ilmu (INQKA) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor; dan Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam, Prof. Madya Dr. Ruslan Abdul Rahim.

Tambah Faizal, rekaan, jahitan, tekstur dan perincian yang dipilih menghasilkan satu rekaan yang penuh ilusi dan drama bagi mengangkat fesyen ke tahap seni yang sebenarnya.

Lapan pereka tersebut menonjolkan perspektif tersendiri yang tiada batasan dalam dunia fesyen.

Mereka ialah Dayang Intan AlMurid, Lydia Natasha Azmi, Faiz Ripin, Eliyana Erni Yusoff, Arie Sampornak, Ixora Kamarulbaharin, Aida Ismail dan Naim Hasbullah.

Bertemakan The Elements of Tokyo Street Style, Dayang Intan yang memiliki Ijazah Rekaan Fesyen dari UiTM, mempersembah koleksi pakaian jalanan yang diinspirasikan daripada seni gaya jalanan Harajuku dan Shibuya di Tokyo.

Setiap rekaan Dayang Intan memperlihat gaya suai padan warna-warna terang, fabrik, perhiasan, jahitan, quilt dan teknik stensil dengan gaya yang lebih global. Koleksi ini lebih menonjolkan ekspresi nilai-nilai peribadi melalui seni fesyen.

Lydia Natasha Azmi pula memilih tema Candy Couture, yang diinspirasikan daripada warna-warna pastel, remaja dan menyeronokkan hasil obsesinya pada gula kapas.

Membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak, Lydia yang juga pemilik Ijazah Seni Lukis dan Seni Reka UiTM berkata, gula kapas membangkitkan gaya yang ‘manis’ namun klasik.

Khusus bagi peminat motosikal Harley-Davidson, Faiz Ripin menghasilkan koleksi jalanan kontemporari dan klasik bagi menonjolkan keunikan, segar dan ketulenan rekaan. Koleksi yang moden, segak dan menonjol ini, sesuai dipakai oleh pemilik jenama motosikal besar itu, bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.

Tema yang diinspirasikan daripada koleksi lukisan Yusof Gajah bertajuk Ibu dan Anak, diangkat oleh Eliyana Erni Yusoff bagi meraikan keibuan dan keluarga.

Menurut Eliyana, yang kini bekerja sebagai pereka sambilan ini, rekaannya benar-benar mengembalikan ingatan pada zaman kanak-kanak yang penuh keceriaan.

Sementara itu, Arie Sampornak memilih tema The Mask bagi koleksi pakaian malam yang diinspirasikan daripada topeng buluh puak Bena Biombo di Afrika, yang dipakai semasa upacara-upacara ritual.

Kini topeng ini digunakan dalam acara-acara hiburan dan perarakan. Warna, corak dan tekstur topeng memberikan inspirasi pada Arie mengenai seni purba melalui koleksinya.

Tradisi Masa Depan pula menjadi pilihan Ixora Kamarulbaharin, yang diinspirasikan daripada kereta lumba Ed Torc.

Pemegang Ijazah Sarjana dalam Rekaan Fesyen itu, memilih kereta futuristik tersebut kerana mahu bereksperimen dan menggabungkan elemen rekaan masa hadapan dengan teknik kraf tangan seperti kait, sebagai perantaraan bagi mencipta koleksi yang berseni.

Setiap helaian menggunakan benang bulu berwarna kelabu dan dikait bagi menampakkan kekemasan.

Bagi Aida Ismail yang baru memulakan tugas sebagai pereka fesyen di Bugsmate Sdn Bhd, memilih tema The Art of Fabric Manipulations, yang melihat kemungkinan memanipulasi fabrik tiga dimensi.

Koleksi pakaian berseni ini merupakan hasil daripada percubaannya ke atas teknik menggubah semula fabrik bagi menghasilkan bayangan yang cantik dan menakjubkan.