Daripada karakter legenda Mickey Mouse, Winnie, Donald Duck, Daisy, Goofy, Pluto dan watak-watak puteri dongeng serta filem animasi yang pecah panggung, kesemuanya menjadi fenomena dan malar segar.

Selepas mendominasi layar perak dan kaca televisyen, pengaruh yang sama turut menembusi dunia fesyen apabila jenama ini berkolaborasi dengan pelbagai jenama antarabangsa seperti Levis, Uniqlo, Cath Kidston, Vans, Toms, H&M, dan sebagainya.

Selepas bekerjasama dengan Barbie buat pertama kalinya, jenama tempatan The Duck Group (Duck) terus mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai rakan kerjasama terbaharu Disney untuk menghasilkan skarf edisi terhad yang bukan sahaja bergaya, bahkan unik. Edisi itu diilhamkan daripada siluet karakter Mickey Mouse buat peminat yang menggemari kisah fantasi dan magik.

Sebagai peneraju produk skraf premium terkemuka di Malaysia, Duck menggunakan kepakaran mereka dalam menghasilkan rekaan tudung sofistikated dengan mempertaruhkan elemen seni lakaran geometri.

Alat-alat lukisan seperti berus, pen, dan pensel yang menjadi ‘DNA’ kepada watak Mickey Mouse sejak dahulu kekal menghiasi rekaan tudung Duck kali ini di samping olahan logo Disney x Duck yang melengkapkan lagi rangkaian koleksi edisi terhad ini.

Selain tudung, rekaan yang sama ditampilkan pada produk buku dan beg bimbit dengan pilihan empat warna iaitu Ta-da! (merah jambu), Oh,boy! (kelabu), Aww, gee! (pic), dan Cheers! (hijau pudina).

Sebagai sebahagian daripada kerjasama, Duck juga menghasilkan figura Mickey Mouse yang dipamerkan di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur bersempena dengan ulang tahun ke-90 Mickey Mouse.

Bagi anda yang menyukai jenama Duck dan Mickey Mouse pastikan tidak ketinggalan untuk mendapatkan koleksi yang mengujakan ini!