Di Malaysia, anak patung itu memang digilai ramai kanak-kanak perempuan. Berdasarkan itu, sambutan ulang tahun Barbie telah diadakan di Menara Kuala Lumpur dengan kerjasama Tourism Malaysia. Pada sambutan itu, beberapa koleksi Barbie yang menyarung pakaian melambangkan kerjaya profesional dipertontonkan kepada khalayak.

Di beberapa negara Asia Tenggara, anak patung Barbie turut menyinari mercu ikonik seperti Manila City Hall, Filipina; Muzium Fatahillah, Indonesia; Singapore Flyer dan Emquartier di Thailand dengan lampu merah jambu sebagai tanda sambutan ulang tahun Barbie yang ke-60.

Menurut Pengurus Cawangan Barbie, Mattel Asia Tenggara, Ivan Franco, Barbie menggalakkan imaginasi, ekspresi dan ekplorasi kanak-kanak menerusi sesi bermain dengan memupuk sifat percaya kepada diri sendiri iaitu tiada yang mustahil dicapai di dunia.

“Anda boleh jadi apa sahaja yang anda inginkan termasuk dalam profesion dan impian yang dilihat mustahil untuk ditakluki oleh golongan wanita.

“Sejak 1959, anak patung Barbie telah mengeluarkan pelbagai koleksi seperti angkasawan, jurutera aeronautik, dan banyak lagi bagi memberikan keyakinan kepada kanak-kanak dari satu generasi ke generasi lain,” katanya.

Tambah Franco, Barbie turut mempunyai tanggungjawab besar dalam memperkasakan daya kebolehan anak-anak gadis untuk mengejar cita-cita mereka.

“Semua anak patung yang dihasilkan mampu menjadi role model kepada mereka untuk berjaya dengan meletakkan daya imiginasi ketika bermain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Zulkifly Md. Said berkata, kerjasama dengan Mattel di mercu ikonik ini merupakan inisiatif berterusan bagi menggiatkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Sambutan ulang tahun ke-60 Barbie merupakan platform terbaik bagi mempromosikan Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerusi beberapa aktiviti peraduan media sosial bercuti bersama Barbie.

“Kami teruja untuk menyaksikan destinasi-destinasi ikonik negara dipromosikan menerusi sambutan ulang tahun ke-60 Barbie yang secara tidak langsung merancakkan lagi industri pelancongan negara,” katanya.

Sambutan itu turut dihadiri barisan wanita hebat yang berjaya dalam pelbagai bidang seperti pengasas bersama FashionValet dan The dUCk Group, Datin Vivy Yusof dan pakar astrofizik pertama Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman.

Majlis tersebut mempersembahkan sebanyak 60 anak patung Barbie yang ditampilkan pelajar Universiti LimKokWing dan Akademi A Cut Above bagi meraikan kronologi sejarah Barbie.

Anak patung itu kini boleh didapati di gedung Toys R Us terpilih di seluruh negara dengan harga jualan serendah RM52.90.