Melalui slogan `pakar kurung dan kebaya’ Inhanna mengetengahkan kurung dan kebaya potongan asli dan moden dengan konsep minimal, klasik, berkualiti tinggi dan mampu milik.

Kebanyakan koleksi baju tradisional ini menampilkan warna polos terang dan pastel berpadanan dengan konsep minimal yang sesuai dipakai oleh wanita pelbagai peringkat umur terutama golongan yang berusia 20 tahun sehingga 50 tahun.

Malah nampak lebih elegan apabila kebaya atau kebarung serta baju kurung warna polos ini digayakan dengan aksesori yang sesuai.

Setiap bulan Inhanna akan menampilkan satu rekaan baju baharu yang didatangkan dengan 10 warna pilihan.

Terbaharu, koleksi Kate Kasual Kurung yang amat sesuai digayakan ke pejabat malah jika pemakainya ingin kelihatan lebih moden, bajunya juga boleh digayakan dengan seluar panjang.

Walaupun telah memasuki tahun baharu namun kata Pengurus Besar Inhanna, Fatimah Tahir, koleksi 2018 iaitu klasik asas dan luxe atau mewah masih lagi diminati pelanggan.

Klasik asas adalah rekaan baju menggunakan kain kapas manakala luxe menggunakan kain broked songket dengan sedikit corak.

Kedua-dua koleksi menampilkan empat rekaan iaitu Thalia Kebarung Pesak, Padma Kurung Kedah, Gulinear Riau dan Jasmine Cekak Musang.

Meskipun mengekalkan potongan tradisional beberapa rekaan turut diberi sentuhan moden pada bahagian tangan seperti lipatan halus dan lengan kembang selain kurung padanan tipis.

Inhanna sama sekali tidak melupakan golongan wanita 3G (gebu, gempal, gemuk) kerana sangat memahami keinginan mereka untuk tampil bergaya justeru menyediakan saiz sehingga 4XL.

Kata Fatimah, rata-rata pelanggan berpuas hati dengan ukuran saiz yang disediakan kerana berpadanan malah selesa seperti baju tempahan daripada tukang jahit mahir.

Pemilihan kain kapas untuk rekaan koleksi Inhanna adalah kerana materialnya yang selesa, mudah dijaga, sejuk, tidak mudah renyuk dan lasak. Apatah lagi menggunakan kain kapas berkualiti tinggi.

Maka tidak hairanlah maklum balas yang diterima daripada pelanggan amat memberangsangkan malah jelas Fatimah, ada antara rekaan baju yang terpaksa ditempah semula kerana mendapat permintaan tinggi seperti Padma Kurung Kedah dan Batik Widuri Kebaya Kota Bharu.

Koleksi warna polos dijual antara RM129 sehingga RM180 manakala koleksi songket berharga RM189 sehingga RM300

Inhanna juga akan tampil dengan koleksi praraya pada bulan depan.