Osman turut menegaskan, lawatan beliau pada Rabu itu juga sudah dimaklumkan kepada Menteri dan Timbalan Menteri Luar negara ini.

“Saya kata dengan mereka, ini kawasan perairan negeri saya, kawasan Johor dan hak saya sebagai Menteri Besar, kalau saya tak lawat dan jadi apa-apa, nanti kata saya tak buat semua itu.

“Kita takde niat untuk menceroboh, sebenarnya dia yang menceroboh. Kita ada pelan kawasan, jadi, kita tak boleh dengar cakap sebelah sana.

“Tapi kalau sampai kerajaan Singapura membatalkan mesyuarat pada 13 dan 14 itu terpulanglah...pada saya ia satu alasan, bukan satu isu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menyalakan Tanglung di Taman Impian Emas di sini sebentar tadi.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura hari ini memaklumkan,Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) melibatkan Malaysia-Singapuara yang dijadualkan pada Isnin ini ditangguhkan dengan mendakwa Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menceroboh perairan republik itu.

Sementara itu, Osman juga mendakwa, penangguhan JMCIM itu mungkin merupakan alasan Singapura untuk mencari ‘idea’ baharu mereka bukan sahaja mengenai isu perairan tetapi juga berkaitan ruang udara Pasir Gudang di sini dan Seletar, Singapura.

Beliau juga memaklumkan tidak menerima maklumat rasmi berhubung penangguhan JMCIM, bagaimanapun Ketua Setiausaha Sulitnya memaklumkan ada menerimanya menerusi aplikasi Whatsapp.

“Itu sebab kalau umpamanya saya tak pergi dan tak dapat taklimat daripada pihak keselamatan paerairan kita, saya rasa takde satu gambaran jelas.

“Justeru, saya turun dan melihat di samping saya berikan bantuan kepada mereka. Jadi, jangan  macam banyak dakwaan dalam Facebook kata, Menteri Besar tak buat kerja dan hanya tidur peluk bini dan sebagainya,” katanya. - UTUSAN ONLINE