Naib Canselornya, Datuk Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, Uniten komited memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui  penyelidikan untuk dikongsi oleh masyarakat dan industri.
Katanya, penubuhan hab penyelidikan ini melibatkan gabungan enam entiti jabatan penting di Uniten dan diselaraskan dalam memastikan kejayaan dalam bidang penyelidikan universiti.
“Hab penyelidikan ini bertepatan dengan kejayaan Uniten pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara kejayaan yang boleh dibanggakan apabila tersenarai  Top 20 universiti terbaik di Asia dan menduduki tangga ke-243 pada QS Asia University Ranking. 
“Uniten juga diiktiraf antara lapan universiti terbaik di Malaysia dan menduduki tangga 171 Times Higher Education World University Ranking,”katanya ketika berucap dalam majlis perasmian hab penyelidikan di universiti itu, baru-baru ini.
Pada majlis yang sama turut dilancarkan Sistem Portal Maklumat Kajian dan Penyelidikan Uniten (Pure), Sistem Integrasi Data Maklumat Penyelidikan (Idris), Skim Kerjaya Multi-Track Uniten (MTCS) dan Sistem Online Maklumat Penilaian Kakitangan (Starum).
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Akademik dan Penyelidikannya. Datuk Prof. Ir. Dr. Ibrahim Hussein dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Uniten, Prof. Dr. Mohd Zamri Yusoff.
Dr. Kamal berkata, Uniten perlu menghasilkan lebih banyak kajian dan penyelidikan bermutu tinggi yang berupaya menaikkan nama universiti.
“Salah satu cara meningkatkan kedudukan Uniten dalam arena penyelidikan ialah dengan meraih markah tinggi berdasarkan keperluan Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) dan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (Hicoe).
“Saya percaya Uniten mampu bersaing dengan universiti penyelidikan yang ternama di Malaysia dan antarabangsa, jika universiti fokus dan komited sebagai satu pasukan,”katanya.
Sementara itu, Dr. Kamal berkata, sebanyak RM258 juta diperuntuk Tenaga Nasional Berhad bawah inisiatif Building Opportunity, Living Dreams 2025 (BOLD2025) bagi projek pembangunan pembaikpulihan Uniten 2017 dan 2018. 
“Lebih daripada 50 peratus daripada peruntukan BOLD2025 itu disalurkan bagi tujuan penyelidikan Uniten. 
“Ini termasuk projek pembangunan makmal penyelidikan baharu yang dijangkakan siap menjelang 2020,” katanya.