Menurut kenyataan media Pusat Komunikasi Strategik USIM, lawatan kerja rasmi ini adalah atas jemputan pihak ARA Halal Certification Services Center Inc.
ARA Halal Certification adalah badan pensijilian halal swasta yang berpangkalan di Zhengzhou, Wilayah Henan, China yang mendapat akreditasi penuh sijil halal mereka oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Tuanku Canselor telah berangkat ke China, pada Ahad lalu, bersama delegasi USIM yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Profesor Datuk Roshada Hashim. 
Turut bersama adalah Pengarah USIM Alamiyah (Pejabat Antarabangsa), Dr. Hayati Ismail; dan Felo Utama Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Adlin Masood.
Turut bersama dalam lawatan rasmi ini adalah Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Dr. Mohamed Rafie Ab Malek dan Ketua Eksekutif Sekretariat Malaysia Vision Valley (MVV), Abd. Rahim Ab Rahman. 
Ini merupakan lawatan kerja rasmi pertama USIM bersama Tuanku Canselor dan pihak pengurusan universiti menjunjung setinggi kasih atas perkenan Tuanku Aishah Rohani untuk berangkat bersama. Para delegasi bersama Tuanku Canselor akan berada di sana sehingga hari ini. 
Antara pengisian penting semasa lawatan kerja ini ialah delegasi akan dibawa melawat Iman Technology Development Co. Ltd. 
Semasa di sini, Tuanku Canselor akan menyaksikan majlis menandatangani surat hasrat (LoI) antara USIM dan Iman Technology bagi merintis kerjasama memperkasa pertukaran kepakaran sains dan teknologi antara pihak Iman dengan ahli akademik, pelajar dan universiti. 
Selain itu, ia turut membentuk hubungan strategik dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Semasa di sana juga, Tuanku Canselor turut berkenan untuk membuat lawatan diraja ke Dong Ji Tang Chinese Hospital dan melawat Shongshan Shaolin Temple Martial Art College serta Zhengzhou Airport Economy Zone Planning House. 
Turut diadakan adalah mesyuarat bersama pengurusan ARA Halal Certification bagi membincangkan mengenai penubuhan hab halal di Zhengzhou, pusat servis bagi mempromosikan produk halal Malaysia dan kerjasama USIM bersama universiti tempatan. 
Pada sesi pertemuan ini juga, USIM akan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) berkaitan Latihan Halal dengan Longmai yang merupakan anak syarikat ARA Halal Certification.