Memasuki tahun ketiga siri penganjurannya sejak bermula pada 2016, International Law Course (ILC) 2018 yang dianjurkan bersama Pertubuhan Gud Lak ID iaitu sebuah organisasi anak-anak muda Indonesia yang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia berjaya menarik penyertaan 20 siswa Indonesia kali ini. 
ILC 2018 disertai 15 peserta dari Komisi Yudisial (Judicial Commision) Indonesia berpangkalan di Jakarta dan tujuh mahasiswa dari pelbagai universiti di Indonesia. Diadakan pada 20 hingga 26 September baru-baru ini, ia turut disertai seramai 20 mahasiswa undang-undang USIM. 
Menurut penyelaras program ini, Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli, peningkatan reputasi FSU USIM sebagai sebuah fakulti undang-undang yang mempunyai pakar-pakar muda dalam bidang undang-undang antarabangsa merupakan antara sebab Gud Lak ID meminta FSU untuk menjadi hos ILC sekali lagi pada tahun ini. 
“ILC 2018 adalah usaha yang diambil oleh pihak fakulti untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai undang-undang antarabangsa awam dan sejauh mana ia mempengaruhi Malaysia, Indonesia dan rantau ini.
“Kursus yang ditawarkan kepada para peserta adalah undang-undang pembanterasan amalan rasuah antarabangsa, diplomasi, undang-undang antarabangsa, undang-undang jenayah antarabangsa, undang-undang perdagangan antarabangsa dan kursus mengenai etika kehakiman,” ujarnya yang merupakan pensyarah kanan undang-undang di FSU.
Sempena ILC ini, para peserta turut mendapat peluang menyertai acara tahunan Roundtable Discussion (RTD) on International Law 2018 yang dianjurkan bersama oleh USIM dan Pertubuhan Konsultasi Perundangan Asia Afrika (AALCO). 
Mereka dapat mendengar kupasan perundangan dari wakil Wisma Putra, Dr. Adina Kamarudin; Prof Dr. Wan Izatul Asma Wan Talaat dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Dr. Mariam Saidona Tagoranao dari Majlis Peguam Syariah Filipina.
Sepanjang ILC 2018, peserta turut dibawa ke lokasi menarik tumpuan pelancong di sekitar Bandar Raya Kuala Lumpur seperti Masjid Negara, Dataran Merdeka, River of Life, Bukit Bintang, Pasar Seni dan Menara Berkembar Petronas.  
Selain itu, mereka cukup teruja apabila mendapat peluang melawat kampus Asian International Arbitration Centre (AiAC) untuk menyaksikan sendiri pusat timbang tara antara yang paling besar dan berprestij di rantau Asia. 
Program ILC 2018 ini berakhir dengan jayanya dengan harapan program ini dapat memartabatkan lagi kedudukan USIM sebagai universiti yang menyediakan pembelajaran undang-undang antarabangsa di rantau ini. 
Ia juga dapat menjadi platform bagi USIM untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi di Asia Tenggara dan Komisi Yudisial, Indonesia.