Program kali ini mengekalkan elemen Seni Berbudaya dengan mengetengahkan tiga aspek utama iaitu Sharing Knowledge, Sharing Awareness dan Community Engagement serta telah dikelolakan oleh 35 orang Urusetia Kesenian Pelajar USIM dengan membawa pendekatan santai melalui medium seni budaya kepada golongan sasar iaitu komuniti, sekolah, kampung dan bandar. 

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Pofesor Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, program ini salah satu platform untuk menyampaikan dakwah, ilmu dan mesej yang bermanfaat kepada komuniti. Ini juga secara tidak langsung mewujudkan interaksi antara pihak universiti dengan masyarakat seterusnya dapat menyumbang dalam pembudayaan ilmu.

”Selain itu, USIM turut komited dalam melahirkan siswazah kompetitif sebagai sebahagian dalam memenuhi keperluan sumber manusia dan ummah. 

“Saya melihat pengisian yang disediakan oleh Pusat Kebudayaan seperti program anak angkat, santai masakan ibu, sukan rakyat, kelas rakan seni berbudaya dan USIM Street Dakwah ini dapat membantu mahasiswa mengenal potensi diri dalam pembentukan jati diri dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau lagi, dalam usaha melahirkan lulusan bersifat holistik dan berdaya saing, setiap pelajar perlu melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, keusahawanan dan pemikiran kreatif. 

Semua kemahiran ini merupakan nilai tambah dalam diri kebolehpasaran siswazah dengan penyertaan program sebegini. 

Program kali ini istimewa dengan penglibatan pelajar antrabangsa dari USIM yang turut sama merasai budaya dan seni rakyat Malaysia.

Sebanyak empat buah sekolah telah menyertai program selama empat hari ini, antaranya Sekolah Kebangsaan Jitra, Sekolah Kebangsaan Banai, Sekolah Menengah Bandar Baru Darul Aman dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin.

Perasmian penutup ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad.

Majlis turut diserikan dengan Manifestasi Kesenian Pelajar yang dipersembahkan oleh pelajar sekolah yang terlibat dengan 13 Genre Kesenian hasil daripada tunjuk ajar daripada Kelas Rakan Seni Berbudaya.

Hadir sama pada program itu ialah Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed; Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Hasanuddin Samsudin; dan Setiausaha Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Ku Iskandar Ku Saad.