SL1M yang diperkenalkan pada 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan membantu graduan yang menganggur mendapatkan pekerjaan sementara, meningkat keupayaan diri serta mengasah lebih banyak potensi dan kemahiran sebagai persediaan mendapat pekerjaan yang sebenar.

Program SL1M ini adalah satu peluang bagi membantu menyeimbangkan dan mengurangkan jurang graduan yang menganggur di samping pada masa sama terus menerima lebih banyak pelajar yang bergraduasi dan masuk ke universiti.  

Sehingga ke hari ini, berdasarkan fakta daripada laman web Perdana Menteri, sebanyak 140,000 graduan telah di bawah masuk ke dalam sektor pekerjaan.

Manfaat daripada program ini ialah penglibatan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  dan swasta yang mempunyai rekod cemerlang dalam dunia korporat dalam mengasah kebolehpasaran dan memperkasakan modal insan negara.

Sebagai seorang aktivis anak muda, saya berpendapat bidang-bidang pekerjaan yang ditawarkan dalam program SL1M dapat memberi tumpuan lebih kepada bidang tenaga kerja berkemahiran tinggi agar kepakaran daripada para graduan dapat digunakan sepenuhnya dalam menghadapi cabaran yang sentiasa berevolusi di samping memenuhi wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Dalam kegembiraan kita melihat ramai anak muda daripada latar belakang dan pendapatan yang berbeza dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, kerajaan sebagai entiti yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan dan merangka sebarang mekanisme serta dasar,  harus cakna tentang peluang pekerjaan yang harus disediakan bagi graduan yang sentiasa meningkat peratusannya.

Oleh itu inisiatif program SL1M harus diteruskan kerana manfaatnya yang sukar untuk kita nafikan, di samping penambahbaikan dari segi keseimbangan kerja berkemahiran tinggi, sederhana, dan rendah.

Justeru melalui program SL1M untuk masa hadapan, perlulah melibatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan bersifat kritikal.

Program SL1M bukan hanya sebagai platform untuk mengasah kemahiran tapi mempunyai potensi untuk para graduan mendapatkan pekerjaan yang tetap.

Program SL1M menunjukkan kita tentang keprihatinan pihak kerajaan dalam tempoh yang panjang terhadap kebimbangan melihat graduan menganggur dan sukar untuk mendapat peluang pekerjaan.

Program SL1M akan terus memberi manfaat jika kekal bersama visi dan misinya serta penambahbaikan yang seiring dengan keperluan semasa.

Saya mengharapkan keseimbangan peluang pekerjaan daripada tiga tahap kemahiran yang berbeza membantu untuk mengenal pasti lebih banyak kemahiran dan kepakaran serta mengelakkan situasi apabila pekerjaan yang harus mengawal fungsi kemahiran dan pengetahuan modal insan.

PENULIS ialah aktivis mahasiswa UKM.