Penghunjung bulan Ogos dan awal September masa yang sibuk buat kakitangan Unversiti Awam khususnya di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Akademik, fakulti dan kolej kediaman kerana ini musim pendaftaran pelajar baharu di universiti masing-masing.

Datang dari seluruh negara, pada hari para mahasiswa ini melangkah masuk ke universiti untuk mendaftar, pada ketika itulah ia menjadi langkah pertama mereka mula menyusun bongkah-bongkah yang menjadi tangga menuju ke puncak kejayaan. Ada yang datang dengan ditemani ahli keluarga, tidak kurang juga sanak-saudara terdekat turut serta bersama, malah ada yang hanya datang bersendirian. Tetapi yang pentingnya suasana hari pendaftaran universiti memang meriah dengan pelbagai ragam dan emosi siswa dan ahli keluarga.

Selesai mendaftar, para pelajar baharu akan mengikuti minggu taaruf atau suai kenal yang sudah diaturkan buat mereka dengan objektifnya untuk para siswa baharu ini mengenali dan bersedia dengan kehidupan di alam kampus. Kemuncak utama minggu suai kenal adalah majlis lafaz ikrar di hadapan Pengurusan Universiti ibarat ‘ijab dan kabul’ dalam sebuah pernikahan. Pada detik siswa melafaz ‘setia, cinta dan taatnya’ pada universiti dan mula tertanggung di bahu mereka menunaikan tanggunggawab seorang mahasiswa dan menjaga nama baik universiti.

Alam kampus tidak terbatas dengan menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan diberikan pensyarah, mengulangkaji pelajaran dan sampai di penghujung semester ‘bertapa’ pula untuk menghadam segala rujukan bagi menduduki peperiksaan akhir. Sekiranya mahasiswa hanya menuruti kitaran ini sehingga tamat pengajian, ia adalah sesuatu yang amat merugikan pada pandangan penulis kerana kehidupan di kampus tidak sekadar itu sahaja. Mereka terlepas erti sebenar menikmati dan menyelusuri setiap selok-belok ‘laluan’ di alam kampus yang amat menarik sekali.

Sebagai mahasiswa yang baru menempuh fasa seterusnya dalam perjalanan menuntut ilmu, universiti sebagai sebuah institusi kesarjanaan bukan hanya memberikan ilmu melalui pengkuliahan, buku rujukan dan nota semata-mata. Meletakkan keutamaan akademik di aras pertama bagi menggenggam segulung ijazah itu tidak boleh dinafikan, tetapi alam kampus turut menyediakan pelbagai platform untuk menyediakan mereka menjadi seorang graduan yang holistik dan seimbang. Penulis ingin kongsikan beberapa tips yang boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya terutamanya di awal tahun pengajian di universiti.

Pertamanya para siswa perlu mengambil peluang untuk mengasah dan mengembangkan bakat serta potensi diri dengan menyertai kelab atau persatuan pelajar yang bersesuaian di universiti. Jejakkan sahaja kaki di Bahagian Hal Ehwal Pelajar misalnya, terdapat pelbagai persatuan dan kelab pelajar dengan bitara tersendiri menanti ahli baharu untuk didaftarkan. Ada yang berteraskan pengucapan awam, kebudayaan, kesenian, sukan, badan beruniform dan pelbagai lagi. Penulis yakin dan pasti akan ada yang menarik minat dan sesuai dengan kecenderungan masing-masing. Melalui platform kelab dan persatuan ini, ia akan menjadi batu loncatan untuk menyertai pelbagai program di dalam dan luar kampus kelak.

Keduanya para mahasiswa diseru mengambil peluang untuk terlibat dengan pelbagai program yang dianjurkan di dalam kampus kerana ia meriah dengan pelbagai bentuk program berbentuk ilmiah dan santai. Semua program ini ada yang dianjurkan oleh fakulti, persatuan pelajar dan kolej kediaman seperti bedah buku, wacana isu semasa, ekspo keusahawanan dan pertandingan pidato dan debat. Bagi memastikan siswa tidak terlepas melibatkan diri dengan program menarik di dalam kampus, rajin-rajinkan diri melihat poster program yang kerap dikemaskini penganjur di ruangan tumpuan pelajar dan hebahan di media sosial.

Sebagai golongan muda dan pemimpin di masa hadapan, mahasiswa wajar memanfaatkan zaman kehidupan kampus dengan ‘bergelumang’ dalam program kesukarelawanan yang membawa mereka mendekati dan menyelami kehidupan pelbagai lapisan masyarakat. Dari nun jauh ke pedalaman menyantuni masyarakat orang Asli, bermalam dan berkampung dengan keluarga angkat untuk merasai suasana desa hingga ke lorong kusam menyantuni gelandangan, ini cuma sebahagian bentuk program kesukarelawanan yang ada. Apa yang penting, ia membuka perspektif pemikiran dan kefahaman yang lebih luas mengenai kehidupan sebenar yang melilit masyarakat kini seperti tekanan taraf hidup, hambatan gejala sosial, himpitan ekonomi dan pelbagai lagi.

Seterusnya para mahasiswa perlu mula berani mencabar diri menimba pengalaman dalam pengurusan program di kampus bermula dari program kecil sehingga program mega bertaraf antarabangsa. Melalui penglibatan sebagai ‘orang belakang tabir’ ia mengajar mereka secara langsung dari sekecil perkara asas seperti menyediakan kertas kerja dan surat rasmi. Melaluinya juga keyakinan diri dan kemahiran komunikasi ditingkatkan apabila perlu berurusan dengan pelbagai pihak dan melatih diri menjadi pemimpin dan pengurus yang baik.

Melalui pengalaman dan pemerhatian penulis, apabila seseorang siswa itu memanfaatkan segala kelebihan alam kampus, mereka secara tidak langsung telah membina jaringan dengan pelbagai pihak dari pelbagai latar belakang. Semua ini boleh dimanfaatkan dan membantu mereka kelak apabila memasuki alam kerjaya. Alam kampus itu mengenai cabaran berdikari dan merebut sebanyak mana peluang yang telah sedia terbentang luas. Kawal diri agar tidak terleka, lalai dan berasa terlalu selesa kerana apabila memasuki alam universiti, kita membawa bersama harapan dan cita-cita yang besar. Selamat menempuh alam kampus buat para mahasiswa sekalian! (788 patah perkataan)

PENULIS merupakan Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.