Pelbagai spekulasi dinyanyikan. Akhirnya semalam terungkai sudah kekusutan ini. Yang menyebabkan ada beberapa pihak masih tidak berpuas hati walaupun Yang di-Pertuan Agong telah membuat kenyataan bertulis.

Ada dua perkara utama yang agak menarik dalam kes ini. Pertama, begitu ramai antara kita, tidak kira sama ada mereka itu ahli akademik, ahli politik atau peminat-peminat tegar warung kopi begitu hebat memberi pentafsiran dan ulasan mengenai artikel 145 Perlembagaan Malaysia. Penghujahan mereka kalah pembuat dasar mahupun peguam-peguam terlatih.

Jarang sekali sebelum ini, siapa-siapa pun mengambil tahu mengenai artikel ini, tiba-tiba menjadi satu topik yang begitu ilmiah. Alangkah baiknya jika kesemua mereka dapat diskusi mengenai tafsiran al-Quran seperti mana mereka mengupas artikel Perlembagaan Malaysia ini. Apatah lagi Ramadan, bulan untuk beramal, mendekatkan diri kepada tuhan.

Keduanya, rakyat Malaysia sudah begitu cenderung untuk melakukan petisyen. Semenjak akhir-akhir ini begitu banyak petisyen dikemukakan di alam maya. Daripada pelantikan menteri, pemberhentian pegawai lantikan politik, lantikan Panglima Angkatan Tentera dan diikuti lantikan Peguam Negara. Semuanya hendak diprotes.

Kadang-kadang terfikir juga, bagaimana hendak memuaskan hati 35 juta rakyat Malaysia, yang mempunyai pelbagai rasa dan cita.

Mari kita lihat sisi positifnya pula, juga terdapat dua perkara utama. Pertama, rakyat mula celik tentang peranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Rakyat mulai tahu bahawa duli-duli paduka merupakan payung kepada negara. Payung yang menahan terik panas dan basah hujan.

Kita tidak boleh buang naungan ini. Pandangan mereka perlu dihormati, kerana ini perjanjian turun-temurun yang termeterai antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba.

Sisi keduanya, ialah, rakyat Malaysia sudah boleh menyuarakan apa sahaja tanpa rasa gerun ataupun takut. Siapa pun boleh mengkritik, siapa sahaja juga boleh tidak bersetuju. Yang penting harus menjaga tatasusila dan menghormati antara satu sama lain.

Kembali kepada isu lantikan Peguam Negara, bagi penulis, kita harus beri ruang dan peluang kepada kerajaan yang baru dilantik untuk mentadbir negara sebaik mungkin. Pastinya mereka memerlukan segala kepakaran yang sedia ada, tapi syarat utama ialah mereka yang selari dengan nada yang mereka perjuangkan.

Bagi penulis, kita sudah berikan mereka mandat, biar mereka laksanakan dahulu. Jika mereka gagal, kita boleh mengubah dalam PRU15 nanti.

Penulis juga merasakan kerajaan baharu bukan sengaja untuk membelakangkan manifesto yang mereka ciptakan. Cuma pandangan peribadi penulis merasakan, mereka tidak menyangka negara berada dalam keadaan sebagaimana ketika mereka merencanakan manifesto tersebut.

Pastinya apabila mereka menyedari akan hal ini, beberapa adjustment perlu dilakukan segera.

Kita harus letakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau mempunyai 22 tahun pengalaman mengemudi negara. Pasti beliau tahu apa yang hendak dilakukan. Negara perlukan seorang nakhoda yang berani membuat keputusan tanpa ada perasaan prejudis. Bersyukurlah kita dianugerahkan Ilahi seseorang untuk melakukan tugas berat tersebut.

Walaupun bagi sesetengah pihak meragui kemampuannya, tapi perlu ingat beliau baru 25 hari bertugas, jangan cepat kita menghentam.

Bagi pejuang agama dan bangsa, jangan khuatir, selagi Yang di-Pertuan Agong ada, selagi itu paksi agama dan bangsa di bawah telunjuk baginda. Apatah lagi Perlembagaan kita mengawal empat perkara yang tidak boleh diusik oleh sesiapa pun, iaitu, Agama Islam, Bahasa Melayu, Hak Keistimewaan Melayu dan pastinya sistem beraja itu sendiri.

Marilah kita rapatkan saf, menuju Malaysia Baharu, jangan cepat melatah dan jangan cepat menyembur kata fitnah. Bertenang, kalau mahu mengkritik, kritiklah secara membina, jangan pula emosi yang terbina.

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI ialah Pengarah Institut Pemikiran Dr. Mahathir (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM).