Sebagai seorang yang berkhidmat dalam bidang pendidikan, pastinya setiap bait kata yang diungkapkan oleh Dr. Maszlee Malek, Menteri Pendidikan yang baharu akan menjadi perhatian para pendidik di sekolah mahupun universiti, pentadbir dan ibu bapa.

Melihat kepada progresif pendekatan Menteri Pendidikan dalam memartabatkan lagi pendidikan negara dalam era Malaysia baharu ini, saya ingin berkongsi pandangan dan kupasan idea terhadap satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) baru-baru ini mengenai pandangan dan cadangan terhadap Pendidikan di Malaysia.

Ikram mungkin sinonim dilihat sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti dakwah dan khidmat masyarakat di seluruh negara, tetapi juga sebenarnya sebuah pertubuhan yang turut menyumbang dalam kerangka pendidikan negara. Apa yang membuatkan penulis kagum dan bangga, mereka mempunyai 34 buah sekolah rendah dan 15 buah sekolah menengah swasta Islam seluruh Malaysia dengan modul pendidikan sendiri berteraskan Islam yang disepadukan dengan Kurikulum Kebangsaan. Justeru, pandangan dan cadangan mereka mengenai halatuju pendidikan mempunyai asas yang kukuh dan wajar diberi perhatian dan penilaian oleh Kementerian Pendidikan.

Sebagai individu yang telah bergelumang lama dalam pendidikan, asas utama untuk memastikan pendidikan negara sentiasa dimartabatkan oleh semua pihak ialah kita semua perlu memegang erat hasrat dan maksud Falsafah Pendidikan Negara (FPK). Secara tuntasnya roh FPK ini memberi penekanan kepada proses pembangunan insan (murid dan mahasiswa) dan bukan sekadar proses pengajaran dan pembelajaran semata-mata.

Penulis melihat roh FPK ini dihadamkan dengan baik oleh Ikram ketika mereka melontarkan cadangan dan pandangan mengenai pendidikan Malaysia apabila salah satu daripada kenyataan dikeluarkan mereka menyokong usaha kementerian dalam melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). PBS bukan sahaja menilai apa yang dihasratkan oleh FPK dengan mempelbagaikan kaedah pentaksiran, tetapi pada masa yang sama memberi penekanan terhadap konsep pentaksiran yang lebih menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan pelajar seimbang. 

Sistem pendidikan tidak sepatutnya disandarkan kejayaannya pada nilaian peperiksaan, ranking atau paling asas individu itu boleh membaca dan mengira, tetapi lebih penting, sistem itu menjadikan anak-anak kita mempunyai jiwa insani.

Terdapat beberapa pandangan dan cadangan Ikram yang menarik perhatian dan inklusif pada pandangan penulis. Antaranya mengesyorkan kementerian memberi perhatian dan bantuan kepada semua sekolah bukan kerajaan yang melaksanakan Kurikulum Kebangsaan dan memenuhi kerangka FPK. Bagi penulis bantuan ini dapat memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa kerjaan tidak meminggirkan sekolah swasta selagi mana tidak lari daripada sistem pendidikan negara. 

Merujuk kepada temubual Dr. Maszlee dalam satu wawancara di Astro Awani, beliau amat cakna dengan pandangan pelbagai pihak bahawa sistem pendidikan yang sedia ada perlukan penambahbaikan lagi.  Ini diakui apabila kita berada terlalu lama dalam sistem sebelum ini yang terlalu berteraskan peperiksaan, agak 'rigid' dari segi regimentasinya. Penulis berkongsi pandangan yang sama dengan beliau kerana dunia kini lebih global, sistem negara maju lebih ke hadapan, memandangkan mereka lebih mementingkan konsep pembentukan 'character', menghasilkan individu yang lebih berinovasi dan kreatif. Justeru, penulis akan menyokong apa sahaja cadangan dan dasar yang menyuntik kepada satu anjakan paradigma kepada sistem pendidikan kita untuk sentiasa relevan sepanjang zaman.

Dalam memartabatkan lagi pendidikan negara, enjin penggerak utamanya yakni guru-guru perlu diberi perhatian terhadap keluh-kesah dan keperluan mereka. Kerap kita diadukan dengan bebanan tugas pentadbiran yang perlu ditanggung oleh guru-guru di sekolah. Cadangan Ikram bernas apabila mengesyorkan supaya yang dilantik membantu guru bukannya teaching assistant, tetapi pembantu tadbir kerana guru terbeban dengan kerja-kerja pentadbiran bukan pengajaran.  

Sekiranya kewangan menjadi halangan, penulis mencadangkan agar sekolah menggunakan khidmat sukarelawan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pesara guru yang berpengalaman untuk meringankan bebanan tugasan pentadiran ini.

Perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak kementerian kerana terdapat banyak keluhan daripada guru yang dibebani waktu pengajaran yang padat dan terpaksa melakukan kerja-kerja pentadbiran yang agak banyak. Jika dibiar berpanjangan pasti menyebabkan keseronokan dan keselesaan untuk bekerja tidak wujud dalam kalangan pendidik kita masa kini.

Penulis juga melihat terdapat keperluan cadangan permulaan persekolahan dan cuti diselaras dan disusun kembali agar selari dengan sesi pengajian di Institusi Pengajian Tinggi khususnya universiti untuk diberi perhatian oleh kementerian. Sebelum ini, universiti dan sekolah berada di bawah payung kementerian yang berbeza tetapi kini sudah bersama, maka sebarang penjajaran sistem universiti dan sekolah lebih mudah diimplementasikan. Apabila persekolahan dan cuti ini kita selaraskan, pastinyak pelajar sekolah tidak perlu menunggu waktu yang lama selepas menamatkan pengajian di peringkat sekolah untuk seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. 

Sebagai penutup, dalam usaha merancakkan lagi perkembangan pendidikan negara, buah fikiran dan kerjasama NGO seperti Ikram amatlah dialu-alukan kerana usaha dan kerja keras yang telah dilakukan selama ini amatlah signifikan dan selaras dengan roh FPK. Gabungan antara kerajaan dengan NGO banyak memberikan kelebihan kedua-dua pihak kerana segala tindakan serta pelaksanaan mencakupi ruang yang sama demi memartabatkan pendidikan negara di peringkat nasional dan antarabangsa.
PENULIS ialah Profesor di Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM yang kini menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.