Laporan yang naskhahnya saban tahun semakin menebal, hampir setebal naskhah asal PPPM 2013-2025, merakamkan bukan sahaja pencapaian pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang tahun, malah secara telus berkongsi isu dan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan inisiatif tersebut serta langkah penyelesaian yang diambil dan penambahbaikan pada masa akan datang.

Tahniah diucapkan kepada Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) yang sejak 2013 telah berjaya menerbitkan laporan setiap tahun tentang perkembangan setiap inisiatif yang direncanakan dalam pelan ini.

Sekiranya diteliti, setiap laporan tahunan menyatakan dengan jelas kekangan yang dihadapi dalam memastikan perancangan yang telah digariskan dapat dilaksanakan, justeru setiap pihak berkepentingan yang berminat tentang pendidikan dapat mengetahui dan berkongsi maklum balas melalui pelbagai platform sama ada menghubungi terus PADU ataupun melalui kementerian sendiri.

Ini adalah satu tahap ketelusan yang belum pernah wujud sebelum pelan ini dibangunkan.

Masyarakat juga boleh menggunakan maklumat dalam Laporan Tahunan untuk melibatkan diri dengan komuniti sekolah setempat atau sistem pendidikan yang lebih luas seperti yang dinyatakan dalam Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas.

Peratus purata sekolah sekolah yang mencapai sasaran 25% ibu bapa sebagai sukarelawan di sekolah meningkat kepada 82% berbanding 41% pada tahun sebelumnya.

Kementerian telah menyediakan garis panduan sukarelawan dalam kelas untuk ibu bapa yang berminat dalam menyumbang kepada pembangunan holistik anak-anak mereka. Maklumat sebeginilah yang perlu disebarluaskan kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Menghasilkan Laporan Tahunan mengenai sistem pendidikan negara bukanlah satu tugas mudah. Sebagai salah seorang yang pernah menggalas tanggungjawab untuk menyediakan Laporan Tahunan ini, saya merasa bangga terhadap penghasilan naskhah kali ini kerana kementerian ternyata ikhlas untuk berkongsi maklumat dengan jujur dengan pihak awam.

Pengalaman melaksanakan pelan ini telah banyak mengajar kementerian untuk menguruskan transformasi pendidikan dengan lebih mantap dan berkesan. 

Dari Bab 1 hingga Bab 5 Laporan Tahunan 2017, masyarakat dibentangkan dengan data dan statistik terkini serta kisah kejayaan yang sering kali kurang didendangkan mengenai pendidikan negara.

Naskhah Laporan Tahunan ini akan hidup melalui video yang boleh ditonton selepas mengimbas kod QR.

Kualiti pendidikan tidak dapat dipertingkat sekiranya murid di negara tidak diberikan akses kepada pendidikan, justeru penting untuk kementerian meneruskan usaha secara komprehensif dan holistik untuk memastikan enrolmen murid terus meningkat. Data enrolmen ini diberikan ilustrasi yang begitu jelas di muka surat 1-17 dalam Laporan Tahunan 2017.

Yang pastinya menarik perhatian pembaca dalam meneliti Laporan Tahunan PPPM 2013 -2025 setiap tahun adalah kisah cetusan inspirasi dan kecemerlangan wira-wira yang tidak didendang dalam memastikan potensi dalam diri setiap murid, tidak kira siapa mereka dan apa latar belakang mereka, digarap dan dibangunkan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Kisah kejayaan graduan Kolej Vokasional meredah dunia industri yang mencabar, kecemerlangan atlet arus perdana dan murid bekeperluan khas, keunggulan murid sekolah seni di persada dunia serta kegemilangan anak-anak Malaysia dalam pelbagai pertandingan di peringkat global adalah hasil usaha kolektif dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Laporan Tahunan PPPM inilah antara ‘suara’ atau wadah untuk rakan-rakan guru di kawasan pedalaman atau di mana sahaja untuk berkongsi kejayaan mahupun kesengsaraan dalam menjalankan tugas mendidik anak bangsa Malaysia.

Telah saya sentuh dalam penulisan sebelum ini mengenai perlunya kementerian memberikan fokus bukan sahaja dalam meningkatkan prestasi pendidikan negara di peringkat antarabangsa, tetapi juga memastikan infrastruktur asas tidak kira di ceruk rantau seluruh negara disediakan dan peruntukan disalurkan secara saksama kepada yang memerlukan.

Sebagaimana yang dinyatakan sendiri oleh Menteri Pendidikan dalam ucapan semasa Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2017, harapan setinggi gunung diletakkan di atas bahu beliau, yang secara berseloroh mengakui ‘tidak berapa tinggi orangnya’.

Kalau dahulu Kementerian Pendidikan memberikan fokus kepada pendidikan asas di sekolah, kini dengan Pendidikan Tinggi di bawah satu bumbung, Menteri perlu melihat kepada kesinambungan bukan
sahaja pendidikan asas hingga pendidikan tinggi, malah sehingga ke dunia kerjaya bagi pendidikan sepanjang hayat.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang kepada pendidikan negara perlu dihayati oleh setiap segmen pendidikan kerana pada akhirnya, pendidikan negara bertujuan untuk
melahirkan insan sejahtera yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara.

Usaha Menteri untuk mendekati warga pelaksana harus dipuji kerana memberi peluang kepada beliau untuk melihat sendiri apa yang berlaku di peringkat akar umbi. Namun begitu sebagai pemegang amanah pendidikan negara, amat wajar juga pandangan daripada pemimpin pendidikan yang lebih berpengalaman sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang sudah bersara diambil kira dalam memastikan negara ini diwarisi oleh anak-anak bangsa yang bakal memacu kegemilangan negara.

Melangkah ke hadapan, kita semua ingin melihat bagaimana prestasi kedua-dua PPPM 2013-2025 dan PPPM (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 dapat memacu peningkatan sistem pendidikan negara secara holistik.

Besar harapan masyarakat agar kepimpinan pendidikan dapat meyakinkan semua pihak bahawa transformasi pendidikan negara berada pada landasan yang betul untuk meletakkan Malaysia antara sepertiga teratas negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia.