Ketika perhatian menghala ke Rusia tanpa jemu, siapa menyangka nilai-nilai kemanusiaan membawa seluruh dunia bersatu hati, doa dan debaran untuk misi hampir mustahil menyelamatkan 12 remaja bersama jurulatih pasukan bola sepak mereka yang terperangkap nun jauh di dalam  perut Gua Tham Luang, Thailand berjaya!

Secara tersurat, kejayaan misi ini terzahir atas gabungan kepakaran strategi penyelam berpengalaman bersama kecanggihan alatan teknologi menyelamat. Tetapi hakikat sebenar yang menyumbang kepada kejayaan misi dan menyatukan semua yang terlibat untuk menamatkan misi ini dengan sebaik-baiknya adalah semangat kesukarelawanan.

Nilai murni insani inilah yang menjadi tonik yang membuatkan semua yang berkampung di pekarangan Gua Tham Luang meletakkan ke tepi soal keselesaan diri, letih, lelah, putus asa mahupun isu keselamatan yang mengancam nyawa.

Semangat kesukarelawanan adalah suatu kuasa ajaib, yang mampu merentas agama, bangsa dan sempadan negara tanpa dapat dihalang.

Penindasan umat Islam di Palestin oleh rejim Zionis yang mencetus krisis kemanusiaan berabad lama adalah contoh terdekat untuk menggambarkan bahawa kesukarelawanan ibarat obor yang sentiasa menyala dan terus menyala menerangi mereka yang memerlukan. Buktinya, sukarelawan seluruh dunia sentiasa bersilih-ganti dan cekal jiwa menghulurkan bantuan tanpa kenal erti jemu kepada penduduk di sana termasuk sukarelawan rakyat Malaysia.

Sukarelawan bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia, ia sesuatu yang dekat dengan budaya ketimuran yang sinonim dengan kita. Semenjak kecil lagi kita sudah dididik dengan erti kesukarelawanan secara tak formal, dalam budaya masyarakat Melayu misalnya, amalan bergotong-royong atau rewang oleh penduduk kampung apabila mengadakan kenduri-kendara adalah tauladan langsung mengenai nilai murni ini.

Bukan itu sahaja, ketika tetangga ditimpa musibah seperti kematian, kita melihat bagaimana orang tua kita ringan tulang menghulurkan bantuan tanpa dipinta walaupun tiada pertalian saudara.  

Pelbagai peristiwa yang berlaku di dalam negara misalnya kejadian banjir besar di Pantai Timur, tsunami, tanah runtuh dan kebakaran yang mengorbankan nyawa memotretkan bahawa masyarakat kita masih memiliki semangat kesukarelawanan yang tebal dan utuh. 

Dari perspektif Islam, kesukarelawanan ini adalah memberi khidmat bakti kepada manusia lain dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT. Amalan ini amat digalakkan oleh agama kerana berkait rapat dengan konsep fastabiqul khairat iaitu berlumba-lumba membuat kebajikan. Ia disebut di dalam al-Quran surah Al-Imran ayat 114 yang bermaksud :

“Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang yang soleh.”

Kesukarelawanan mengenai melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa atau dikerah bersama niat yang ikhlas dan dengan tidak mengharapkan apa-apa pulangan untuk diri sendiri. Ia bukan terkongkong dalam kefahaman  tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima, tetapi lebih besar perspektifnya iaitu mengenai memelihara hubungan rapat dengan Maha Pencipta (hablu min Allah) dan pada waktu sama memelihara hubungan sesama manusia (hablu min’an nas).

Di Malaysia, terdapat pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadikan kesukarelawanan sebagai teras gerakan mereka dengan mengatur pelbagai program yang bertemakan nilai insani ini. Ada NGO yang menyediakan makanan untuk gelandangan mengalas perut, memberi kelas akademik percuma kepada anak kecil yang terabai, melindungi anak yatim dan warga emas, menyediakan rawatan kesihatan serta yang berkait dengan kelestarian alam.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) misalnya mempunyai kerjasama erat dengan NGO Islamic Relief Malaysia (IRM) dalam mengadakan aktiviti kesukarelawanan untuk siswa-siswi USIM melalui medium Program Tahun Berjeda atau Gap Year. Melalui program khas ini, pelajar yang menyertainya akan menangguhkan pengajian selama setahun dan mengisinya dengan aktiviti kesukarelawanan sepenuh masa, turun menyantuni pelbagai lapisan masyarakat di kota, desa mahupun ceruk pedalaman untuk menyumbang tenaga,pemindahan ilmu pengetahuan dan kepakaran sebagai agen perubahan.

Pada September ini, dijangka kohort kedua Gap Year USIM akan memulakan ‘cuti panjang’ mereka untuk bergelumang dengan realiti kehidupan sebenar masyarakat di luar sana.

Usia muda adalah masa terbaik untuk diberi pendedahan mengenai kesukarelawanan dan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi adalah satu kelebihan kerana di universiti pelbagai program kesukarelawanan boleh diceburi.

Menurut kajian Mabry (1998), mahasiswa yang terbabit dengan aktiviti berkaitan kesukarelawanan dikenal pasti mempunyai perubahan ketara dari aspek nilai sosial. Semangat kesukarelawanan ini perlu dipupuk secara berterusan kerana ia proses pendidikan yang tidak formal, tidak terdidik di jiwa melalui sesi pengkuliahan atau menelaah buku yang tebal, tetapi tersulam kemas dan rapi pabila mereka turun ke padang merasai sendiri jerihnya.

Seperti dinyatakan awal tadi, kesukarelawanan ini merentas sempadan dan pastinya pengalaman kehidupan yang diraih di tempat orang sesuatu yang bernilai kerana di situ kita akan merasai perbezaan adat budaya, bahasa pertuturan dan geografi. Melaluinya, membina kematangan, daya fikir hebat dan kepedulian tinggi pada masyarakat.

Mahasiswa USIM misalnya memanfaatkan program Global Islamic Student Outreach (GISO) untuk melaksanakan program kesukarelawanan di luar negara. Sejak dilancarkan pada 2011 sehingga 2016,  sebanyak 156 pengembaraan GISO telah dijalankan dengan penjelajahan ke lebih 20 buah negara yang melibatkan keseluruhan 3181 pelajar. Penulis sendiri berpeluang menjadi sukarelawan GISO  ke beberapa buah negara seperti Thailand, Vietnam, Kemboja dan Sri Lanka.

Anak muda merupakan cerminan nilai-nilai kehidupan dan perwatakan pemimpin yang akan menakhoda negara di masa hadapan, Justeru golongan muda yang sudah terbiasa dan sebati dirinya dengan aktiviti kesukarelawanan diyakini mampu menjadi pemimpin masyarakat yang baik, dengan memiliki karekter dan peribadi cemerlang. Penulis masih percaya selagi semangat kesukarelawanan masih ada bersemi, sesungguhnya nilai kemanusiaan dalam hati manusia itu belum mati.

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.