Dalam suasana yang begitu mengujakan selepas Pilihan Raya Umum ke 14, rakyat Malaysia ternanti-nanti siapakah yang bakal memikul amanah untuk menerajui usaha memartabatkan pendidikan negara dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, apatah lagi Kementerian Pendidikan kini kembali bergabung dengan Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah satu pentadbiran.   Seluruh warga pendidikan menaruh kepercayaan bahawa YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat pilihan yang bijak dalam meletakkan seorang pensyarah universiti yang mempunyai latar belakang pendidikan yang mantap dan bakal memberikan sumbangan bermakna dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara. 

Penggabungan Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bukanlah satu perkara baharu kerana dalam sejarah pentadbiran negara pendidikan sememangnya di bawah Kementerian Pelajaran.  Pada 27 Mac 2004 buat pertama kalinya Kementerian Pengajian Tinggi diwujudkan selepas rombakan kabinet yang dilaksanakan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Abdullah bin Hj Ahmad Badawi.  Pada 15 Mei 2013, kementerian ini telah digabungkan semula dengan diterajui oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri.  Rombakan Kabinet Persekutuan pada 28 Julai 2015 pula menyaksikan Kementerian Pendidikan Tinggi KPT diwujudkan semula dengan rasminya selaras dengan peruntukan Akta yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.  Ibarat sirih pulang ke gagang, sistem pendidikan negara dari peringkat prasekolah hingga ke pendidikan tinggi kini kembali bergabung di bawah satu pentadbiran. 

Belum pun sebulan menjadi Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan pelaksanaan yang pantas untuk menangani isu-isu pendidikan, sepantas Kerajaan menangani isu negara.  Audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) telah dihentikan serta merta pada 7 Jun 2018, lantaran isu dokumentasi evidens yang membebankan guru-guru.  Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) ditutup sementara bermula 10 Jun 2018 bagi menangani risiko kebocoran maklumat.  Isu penyelewengan perbekalan dan pembekuan pelantikan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri juga telah menjadi berita hangat, dan masyarakat menghargai tindakan segera YB Menteri Pendidikan.

Langkah drastik ini perlu diambil bagi mengotakan janji beliau untuk ‘mengembalikan’ tugas mendidik kepada guru, dan dapat dilihat bahawa langkah yang telah diambil ini mengambil kira input daripada pentadbiran Kementerian Pendidikan dan suara warga pendidikan sendiri di media sosial.  Guru-guru terutamanya  meminta supaya dikurangkan kerja-kerja menyediakan dokumentasi yang bukan menjadi keutamaan dalam proses membangunkan potensi murid dan menghasilkan insan yang sejahtera, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  

Sebenarnya pengurangan tugas dokumentasi guru ini bukanlah satu perkara baharu kerana dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,  Kementerian sedar bahawa tugas pentadbiran berlebihan mengambiL masa urusan teras guru dalam pengajaran dan pembelajaran, serta mengurangkan keberkesanan pengajaran mereka.  Perkara ini telahpun disuarakan semasa Dialog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan pada bulan April hingga Julai 2012 dalam sesi yang diadakan di seluruh negara.  Hasilnya dalam Bab 5 PPPM 2013-2025 Kementerian telah menjanjikan inisiatif untuk menyeragamkan sistem pengurusan dan pengumpulan data sedia ada bagi menghapuskan pertindanan permintaan data serta mengatasi kesesakan di sekolah yang mempunyai purata saiz kelas melebihi 35 murid.   Bilangan murid di dalam kelas tidak dikurangkan kerana terdapat bukti kajian antarabangsa yang menunjukkan bahawa kualiti guru adalah penyumbang utama kepada pencapaian murid dan bukannya saiz kelas itu sendiri. 

Saban tahun kemajuan inisiatif yang dilaksanakan di bawah PPPM 2013-2025 telah diperincikan dalam Laporan Tahunan PPPM yang dihasilkan oleh Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), satu unit yang ditubuhkan khusus untuk membantu melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang menjurus kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.  Dalam Laporan Tahunan yang diterbitkan, jelas sekali transformasi pendidikan yang dilaksanakan berada di atas landasan yang betul sebagaimana yang dijanjikan dalam PPPM 2013-2025, iaitu untuk meletakkan Malaysia antara satu pertiga teratas dalam kalangan negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia berdasarkan pentaksiran antarabangsa.  Kita juga dapat melihat banyak perkongsian amalan terbaik di merata negara berkaitan dengan pelbagai aspek yang menyumbang kepada kemenjadian murid, seperti pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta, serta kualiti guru dan kepimpinan pendidikan. 

Namun begitu, adalah amat wajar untuk Kementerian menilai semula pelaksanaan inisiatif di bawah PPPM 2013-2025 sejajar dengan perkembangan pesat teknologi dunia dan keperluan negara masa akan datang, dengan berpaksikan nilai dan kerohanian yang menjadi tunjang kepada pembentukan identiti nasional.  Enam tahun selepas PPPM 2013-2025 dilancarkan, kajian perlu dijalankan bagi mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan aspek yang perlu ditambah baik melangkah ke hadapan.  ‘Kiblat’  pendidikan perlu dilihat semula bagi memastikan hala tuju Kementerian adalah selari dengan hasrat negara yang dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Pemahaman dan penghayatan warga pendidik, tidak kira dari peringkat prasekolah hinggalah ke pendidikan tinggi perlu dijajarkan supaya semua mempunyai hala tuju yang sama iaitu untuk membangunkan insan sejahtera melalui pendidikan holistik berdasarkan kepatuhan kepada Tuhan, dan insan sejahtera ini akan dapat menyumbang kepada negara kelak.   Bulan Syawal ini adalah bulan yang paling sesuai untuk semua warga pendidikan merapatkan saf dan mengembalikan kegemilangan pendidikan negara kita.

SALAM AIDILFITRI 1439 HIJRAH DAN MAAF ZAHIR BATIN!