Pertubuhan bukan kerajaan itu sentiasa mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan pelbagai program yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah termasuk kem Skuad Kecemerlangan Akademik 2018 di Rembau, Negeri Sembilan.
Kem selama tiga hari dua malam itu dianjurkan oleh GPMS dengan kerjasama Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dan Pejabat Pendidikan Daerah Rembau melibatkan 100 orang peserta beragama Islam yang juga calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dari enam buah sekolah di sekitar Rembau.
Menurut Ketua Penerangan GPMS Kebangsaan, Muhammad Adib Anas Md. Noor, penganjuran program ini bertujuan menawarkan motivasi dalam usaha melahirkan pelajar-pelajar cemerlang.
Dalam masa sama, GPMS juga menawarkan penerangan dan pendedahan kepada calon-calon SPM mengenai peluang melanjutkan pengajian di universiti.
“Saya bersama pasukan GPMS turut memberi semangat kepada pelajar-pelajar ini bagaimana cara untuk meningkatkan daya keyakinan diri khususnya dalam menghadapi peperiksaan SPM,” kata Muhammad Adib yang bertindak sebagai salah seorang penceramah dalam Skuad Kecemerlangan Akademik 2018.
Dalam majlis penutup kem berkenaan yang diadakan minggu lalu, kesemua peserta berkenaan menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Darah Rembau, Mohd. Rodzi Kadir.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nasan.
Sepanjang tiga hari dua malam, Muhammad Adib memberitahu, pengisian program kepada peserta lebih tertumpu kepada pendedahan dan penerangan untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM.
Kem Skuad Kecemerlangan Akademik Program ini merupakan program tahunan GPMS dengan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sejak kali pertama diadakan pada 2015.
Selain itu, GPMS juga menganjurkan Skuad Jelajah Motivasi Pendidikan 2018 yang akan bermula sekitar bulan Ramadan ini yang bermatlamat memberi motivasi kepada pelajar-pelajar tingkatan lima dan enam.
Program itu akan menawarkan khidmat motivasi khusus untuk pelajar-pelajar yang datang dari keluarga kurang berkemampuan terutamanya di sekolah-sekolah yang terletak di pedalaman, luar bandar dan kawasan tanah peneroka Felda.
Muhammad Adib berkata, dalam Skuad Jelajah Motivasi Pendidikan 2018, GPMS akan memberi motivasi kepada pelajar-pelajar dari 100 sekolah terpilih di seluruh negara.