Di sebalik kemelut politik negara yang melihat percubaan serpihan parti Melayu berganding bahu dan mengukuhkan kerjasama antara pembangkang untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) serta kemunculan parti-parti baharu, kita tidak boleh alpa dengan sasaran golongan pengundi yang manakah bakal didepani dalam meraih undi sokongan.

Dengan pengundi muda merangkumi hampir 40 peratus daripada  jumlah keseluruhan pengundi menampilkan kesan yang berpengaruh sekiranya golongan ini tidak dititikberatkan seperti sebelum ini.

Anak muda kini melihat kepada tindakan berbanding kata-kata bak kata pepatah Inggeris: “Action speaks louder than words.”

Justeru, dengan adanya manifesto khusus bagi orang muda, masa depan orang muda lebih terjamin.

Malah, jangan dilupakan bahawa kuasa pengundi wanita juga memainkan peranan yang amat penting.

Apatah lagi tahun ini diisytiharkan sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Kuasa pengundi wanita mampu membawa perubahan sekiranya tidak dipertahankan.

Peratusan yang juga mewakili separuh daripada jumlah pengundi meletakkan amanah besar kepada kerajaan Barisan Nasional bagi mempertahankan pengundi wanita muda dalam pilihan raya kali ini.

Justeru, kepada para belia di luar sana, jalankan tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia, turun mengundi pada pilihan raya kali ini demi memastikan usul belia lebih banyak diberi perhatian pada masa akan datang.

NOOR EMIRA KHAIRANEY NOR ASRAD ialah bekas Presiden Srikandi Kebangsaan dan Ikon Mahasiswa Nasional 2016.