Naib Presidennya, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, langkah itu diambil bagi menggalakkan ramai pelajar bumiputera menyambung pengajian di universiti kreatif tersebut.
Menurut beliau, bakat dan kemahiran yang ada pada pelajar perlu digilap dan dibangunkan secara holistik supaya negara dapat menyediakan modal insan yang berketerampilan, kreatif dan inovatif. Ini penting agar negara berupaya bersaing dengan penuh keyakinan di pentas antarabangsa.
“Tajaan biasiswa ini ditawarkan kepada 500 pelajar Malaysia bagi perbelanjaan penuh dan perbelanjaan separuh yang melibatkan kursus ijazah mahupun diploma.
“Limkokwing  menawarkan 200 kursus pengajian untuk pelajar yang layak antaranya dalam kursus seni persembahan, muzik, reka bentuk, penyiaran, komunikasi dan multimedia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Transformasi Afrika di universiti itu di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Yang turut hadir, Naib Presidennya, Datuk Tiffanie Marie Lim dan Naib Presiden Komunikasi Perhubungan Korporat, Datuk Fajura Juffa Mohd. Mustafa Kamal.
Raja Aznil berkata, pemberian biasiswa tersebut merupakan pembuka perjalanan kerjaya kepada golongan pelajar yang kreatif dalam pelbagai bidang.
“Ini merupakan peluang yang perlu direbut oleh pelajar dalam mengetengahkan bakat kreatif masing-masing ke peringkat antarabangsa. Walaupun mereka tidak cemerlang dalam bidang akademik, namun mereka mampu berjaya dalam bidang kemahiran.
“Mereka bukan sahaja dapat belajar dalam persekitaran antarabangsa, malah berinteraksi, berkomunikasi dan bersaing dengan pelajar yang rata-ratanya terdiri dari pelbagai negara,” katanya.
Raja Aznil berkata, sejak beberapa tahun ini, Yayasan Limkokwing telah memberi sokongan kepada beribu-ribu pelajar baharu dengan menyediakan biasiswa dan dermasiswa bernilai lebih RM200 juta setiap tahun, terutama di Asia dan Afrika.
Katanya, di Malaysia, yayasan itu memberi sumbangan bernilai RM10 juta setahun, manakala di Afrika, ia menyediakan 50 peratus subsidi bagi bayaran tuisyen.
Mereka yang berminat boleh memohon secara dalam talian di www.limkokwing.net/foundation atau menghubungi talian 03-83178888, 012-7674482, 013-3333497.