Program sukarelawan siswa USIM, IRM

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan  Islamic Relief Malaysia (IRM) baru-bari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan lagi hubungan kerjasama yang sedia terjalin dalam menjayakan program USIM GAP Year Volunteerism.
Pada tahun lalu seramai enam orang pelajar USIM telah menjadi kumpulan pertama di USIM menjayakan program tersebut bersama masyarakat Orang Asli bertempat di Muadzam Syah, Pahang. 
Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad, universiti berkenaan merupakan Universiti Awam pertama di Malaysia yang telah melaksanakan GAP Year Volunteerism untuk tempoh satu tahun penuh.
Katanya, program GAP Year Volunteerism merupakan program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2017.
 “Pelaksanaan projek rintis melibatkan sembilan buah Universiti Awam yang memfokuskan kepada aktiviti kesukarelawanan bersifat khidmat negara serta memenuhi kehendak Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” kata beliau.
 Sejajar dengan hasrat Pendidikan Tinggi Negara untuk membentuk graduan yang holistik dan seimbang, Dr. Musa berkata, program ini mampu melahirkan graduan yang aktif berkesukarelawanan bagi menyumbang tenaga, ilmu serta kemahiran di samping mendekatkan mahasiswa kepada masyarakat. 
“Antara kelompok masyarakat yang didekati dan disantuni oleh mahasiswa yang terlibat terdiri daripada golongan fakir miskin, pesawah dan penoreh getah nelayan, muallaf, komuniti Orang Asli termasuk gelandangan,” ujar beliau.
USIM juga, katanya,  menyokong penuh pelaksanaan USIM GAP Year Volunteerism yang merupakan sebuah program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang memfokuskan kepada aktiviti kesukarelawanan yang bersifat khidmat negara dan memenuhi kehendak Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sebagai satu usaha untuk melahirkan mahasiswa yang seimbang dan holistik. 
Ini merupakan percubaan pertama USIM-IRM dalam merealisasikan program ini yang disertai oleh enam orang mahasiswa USIM.
Dalam masa sama, Dr. Musa merakamkan penghargaan kepada IRM di atas kerjasama yang tidak berbelah bagi kepada USIM hingga program USIM GAP Year Volunteerism berjaya dilaksanakan dengan jayanya yang tamat pada 1 Mei lalu.
Menurut beliau, tanpa bantuan dan kerjasama IRM, USIM GAP Year Volunteerism tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Dalam program berkenaan, pelbagai kemudahan dan tunjuk ajar telah diberikan oleh IRM tanpa mengira waktu kepada USIM dan para peserta USIM GAP year Volunteerism.
“Saya amat bersyukur di atas keikhlasan dan semangat yang diberikan oleh IRM kepada USIM. Pengalaman yang dikecapi oleh pelajar yang menyertai program ini dalam setiap kembara meliputi negara Indonesia dan Bangladesh selain negara sendiri amat signifikan dan mampu dikongsikan bersama rakan kuliah yang lain,” katanya.
USIM juga, kata Dr. Musa, berhasrat melahirkan mahasiswa yang mempunyai nilai keusahawanan, kepimpinan dan kesukarelawanan serta melahirkan negarawan yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap diri, keluarga serta prihatin terhadap kelangsungan kesejahteraan kehidupan masyarakat di masa depan.
 Kemahiran yang ada pada pelajar, katanya, dapat dimanfaatkan kembali kepada masyarakat melalui aktiviti pemindahan ilmu, khidmat masyarakat, libatsama masyarakat dan kelestarian alam.
Program ini akan diadakan di 11 lokasi iaitu di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Lembah Klang, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak dan di dua lokasi luar negara iaitu di Lombok (Indonesia) dan Rampur (Bangladesh).