Baru-baru ini, Persatuan Pelajar Undang-Undang 2017-2018 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan Pentas Dakwah 2018 bersempena Festival Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Kali Ketiga (Festival AIKOL 2018).
Pengarah Programnya, Mohamad Asyraf Mohamad Azwani berkata, Pentas Dakwah 2018 mengorak langkah ke hadapan dengan memperkenal program pertandingan keislaman yang memberi peluang kepada pelajar untuk berpidato, di samping mencungkil bakat-bakat dai dalam kalangan warga UIAM. 
“Pentas ini dilihat mampu melonjakkan kehebatan pidato dengan cara penyampaian dan isi kandungannya yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia sejagat.
“Penyampaian para peserta bukan sahaja menjadi pencetus kepada pembangunan modal insan umat, tetapi kata-kata itu disimpulkan lalu menjadi sumber panduan serta rujukan dalam kehidupan seharian. 
“Pentas ini juga menggilap dan mengasah bakat-bakat baharu dalam dunia ceramah keagamaan dan seterusnya bakal melahirkan ikon-ikon baharu pendakwah agama setanding tokoh-tokoh dakwah di Malaysia,” katanya.
Mohamad Asyraf berkata, pertandingan yang diadakan ini memfokuskan kepada kemahiran pengucapan awam selain penyampaian dakwah secara berhemah serta melatih peserta dari sudut kepimpinan dan bagaimana untuk menjadi seorang dai yang baik.
Tambah beliau, keberkesanan program ini menjurus kepada pembentukan ikon penyampai ilmu agama dalam memberikan pengucapan umum terbaik seperti mana dilakukan oleh personaliti agama yang berjaya menarik ribuan peminat.
“Seramai sembilan peserta yang dipilih dan berjaya ke peringkat akhir daripada uji bakat yang diadakan. 
“Mereka telah berjaya menonjolkan kualiti pengucapan awam terbaik untuk memikat hati juri dan penonton pada peringkat akhir.
“Namun sebelum itu, kesemua peserta pertandingan dilatih dan dibimbing serta dilengkapkan dengan pelbagai ilmu oleh tokoh terkemuka yang bertauliah dan berpengalaman,” kata Mohamad Asyraf.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penasihat Festival AIKOL 2018, Dr. Ghazali Abdul Jaapar.
Festival AIKOL 2018 dinilai berdasarkan isi dan penyampaian kandungan yang melibatkan penjurian daripada tokoh terkenal iaitu Ustaz Muhammad Ramadhan Subky; Dai Nurul Shafiqah Muhammad Hanafiah (Daie TV3 musim kelima); Ahmad Syarief Fadzli Farrah Adeeba Mohamed Asyraf (selebriti tempatan).
Selain itu, Ustaz Mohd. Safwan Syafiq Mohamad Idris, Ustazah Uzaimah Ibrahim dan Amin Idris turut menjadi juri.