Pemanah, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali dari Fakulti Multimedia Kreatif (FCM) akan beraksi dalam sukan Archery-Compound, manakala Mohd. Izzat Mohd. Shukor dari Fakulti Informatik dan Pengkomputeran (FCI) bersaing dalam acara Wall Climbing pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia  baru-baru ini.
Tan Li Ting dari Fakulti Pengurusan (FOM) pula akan mewakili Malaysia dalam Kejohanan Catur Dunia Olympiad ke-43 di Batumi, Georgia pada bulan ini dan juga Kejohanan Sukan Universiti ASEAN di Myanmar pada Disember depan.
Dua lagi pelajar FOM, Muhammad Khairi Mustaffa dan Nurafiff Daniel Zulkahar pula menjadi sebahagian pasukan Malaysia dalam Kejohanan Bola Sepak Universiti Asia di Korea Selatan pada awal bulan ini.
Lebih membanggakan apabila pasukan Perahu Naga MMU yang dianggotai 14 pelajar dari kampus Melaka MMU, turut akan bersaing pada Sukan Universiti ASEAN di Myanmar pada Disember depan.
Sambil mengucapkan kata-kata semangat kepada delegasi pelajar berkenaan, Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata, pencapaian mereka memperkukuh lagi kecemerlangan universiti dalam memberikan pendidikan holistik kepada pelajar MMU.
“Di MMU, kami berpendapat bahawa pendidikan bukanlah sekadar belajar dengan cara membaca buku, tetapi juga mengenai pembinaan pelajar sebagai insan yang mempunyai semangat dan kebolehan untuk mengatasi segala halangan sama ada dari dalam atau luar, ini termasuk melalui kecemerlangan sukan. Kami percaya, faktor ini telah menyumbang kepada fakta bahawa siswazah MMU adalah antara paling digemari majikan di Malaysia ini.” katanya.
Delegasi pelajar MMU yang mewakili Malaysia itu telah dilepaskan oleh Ahmad Rafi dalam majlis khas pada di Dewan Tun Canselor, MMU Cyberjaya, Selangor baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD) MMU, Dr. Abdullah Sallehhuddin Abdullah Salim.
Dalam pada itu, Ahmad Rafi turut menyatakan rasa bangga apabila seorang alumni MMU, Mohd. Nurhaqimy Mohd. Ismail, siswazah Fakulti Teknologi Kejuruteraan yang turut mewakili Malaysia dalam acara paragliding Sukan Asia 2018.