“Anak-anak Ar-Raziq!” Tiba-tiba suara lantang seorang guru wanita menghentikan keriuhan mereka. “Kita nyanyi sama-sama ya,” kata guru itu sebaik sahaja mendapat perhatian mereka. Dan, lagu Tanggal  31 nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad mula berkumandang.
Meskipun tidak dapat mengikut nada lagu itu sepenuhnya, nyanyian anak-anak kecil ini penuh bersemangat. Mereka menyanyi dengan mengikut pergerakan guru sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Selepas itu, mereka menyanyikan pula lagu-lagu patriotik lain seperti Warisan dan Jalur Gemilang.
Pengetua taska itu, Afiza Abdul Aziz, 44, berkata, menyanyi lagu patriotik beramai-ramai sambil memegang bendera Malaysia adalah antara aktiviti tahunan taska itu sempena sambutan Hari Kebangsaan pada bulan ini dan Hari Malaysia pada buan depan.
Aktiviti lain adalah mewarnakan bendera Malaysia, menghias kelas dengan tema Hari Kebangsaan, menghasilkan topi merdeka, bercerita tentang tokoh atau pahlawan yang berjuang mendapatkan kemerdekaan dan paling istimewa pertandingan pakaian tradisional rakyat Malaysia.
“Anak-anak taska memang suka dengan aktiviti Bulan Kebangsaan. Mereka nampak gembira dan bersemangat ketika menyanyi lagu patriotik, suka bila dapat hasilkan dan memakai  topi buatan masing-masing... yang paling mereka suka ialah memperaga pakaian tradisional. Semuanya nampak comel,” kata Afiza yang sudah enam tahun mengusahakan taska tersebut. 
Walaupun kanak-kanak belum memahami sepenuhnya makna merdeka dan patriotisme, beliau percaya aktiviti yang dijalankan itu dapat membantu menyemai semangat cintakan negara.
“Pada saya, aktiviti yang diadakan sepanjang Bulan Kebangsaan adalah penting kerana kita memberi pendedahan tentang semangat kemerdekaan pada anak-anak kecil ini.
“Sebab mereka sukakan keseronokan, bila diberi aktiviti yang mereka suka, mereka akan cepat belajar,” jelasnya.
Setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September, kempen mengibar Jalur Gemilang pasti diadakan bagi menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat termasuk kanak-kanak.
Namun, Pensyarah  Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad berkata, banyak pihak khususnya generasi muda masih tidak memahami  kemuliaan identiti negara - Jalur Gemilang.
Menurutnya, masyarakat di seluruh dunia hidup dengan simbol yang dizahirkan dalam pelbagai bentuk seperti pakaian, bahasa dan rekaan.
“Simbol-simbol ini berperanan menunjukkan identiti dan dalam konteks negara bangsa, simbol identitinya adalah bendera.
“Dalam  ketenteraan atau peperangan, panji-panji dijulang dan martabatnya lebih tinggi daripada bendera biasa. Panji-panji  kita ialah bendera Malaysia yang melambangkan kedaulatan negara,” tegasnya. 
Beliau berharap kerajaan dapat memastikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bersifat inklusif dengan melibatkan semua lapisan masyarakat untuk turut sama meraikannya.
Timbalan Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, sebagai rakyat yang cintakan negara, mereka perlu komited untuk mengibarkan Jalur Gemilang tanpa perlu sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
“Perkara yang perlu dibuat adalah menyuntik semangat patriotik kepada rakyat khususnya golongan muda untuk sama-sama merasai apa itu sambutan Hari Kebangsaan atau paling tidak, sama-sama menjiwai pengorbanan para pejuang terdahulu dalam proses menuntut kemerdekaan,” katanya.
Bulan Kebangsaan yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ dan Kibar Jalur Gemilang 2018 akan dilancarkan pada Sabtu, 4 Ogos ini di Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan pelancaran majlis itu. - BERNAMA