Mohamad Ali Imran Che Yashin, 27, menyumbang pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Piala TPM peringkat Kebangsaan 2017, manakala pasangannya Nur Fazira Fadzil, 25, menyumbang pingat gangsa bagi acara tae kwan do dalam Kejohanan Sukan MASUM 2017.
Ini adalah penganugerahan kali kedua buat Mohamad Ali Imran selepas pertama kali menerimanya pada 2013. 
Pasangan ini berkenalan semasa dalam latihan sukan lebih kurang dua bulan dan terus melangsungkan perkahwinan. Masing-masing membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM300.
Majlis anjuran Pusat Sukan dengan kerjasama Majlis Sukan Kakitangan USIM kali keempat diadakan bagi menghargai sumbangan dan komitmen yang diberikan oleh pelajar, staf, jurulatih dan individu dari segi prestasi serta pencapaiansukan selain memberi motivasi kepada para atlet USIM agar sentiasa meningkatkan kecemerlangan mereka selaras komitmen universiti ini untuk melonjakkan mutu dan pencapaian sukan pada peringkat IPT dan negara.
Sebanyak sembilan kategori anugerah disampaikan iaitu Anugerah Bintang Harapan Pelajar, Jurulatih Terbaik, Tokoh Kepimpinan Sukan USIM, Olahragawan dan Olahragawati staf dan pelajar, Sekalung Budi dan Anugerah Khas. 
Anugerah Bintang Harapan Pelajar (lelaki) disandang oleh Mohammad Ammar Abdul Halim, Olahragawan dan Olahragawati Staf disandang oleh Saiful Azizi Musa dari Pusat Perumahan Pelajar dan Dr. Norhidayah Azman, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi. manakala jurulatih silat olahraga, Dzulnizam Sogol memenangi Jurulatih Terbaik.
Turut disampaikan ialah Anugerah Khas bagi memberi pengiktirafan kepada individu yang memberi sokongan, motivasi dan sumbangan dari segi pencapaian dan penglibatan dalam sukan mahupun komuniti. 
Mereka ialah Pensyarah FST, Prof. Madya Dr. Alina Abdul Rahim bagi kategori staf, manakala Zulfarhan Rafiee, mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang mewakili IPT Malaysia ke Kejohanan Futsal Universiti Asia-Pasific 2017 di China pada 2017 bagi kategori pelajar. Zulfarhan turut terpilih menjalani sesi latihan dan pemilihan pasukan PST-IIUM Mustangs Futsal bagi persiapan menyertai Kejohanan Universiti Dunia (WUC) 2018 di Kazakshtan pada Ogos depan.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad dalam ucapannya turut menggalakkan penglibatan warga universiti dalam aktiviti sukan sebagai salah satu wadah bagi membentuk dan meningkatkan sahsiah yang berupaya melonjak diri dan karisma serta meningkatkan keberhasilan produktiviti dalam kerja-kerja seharian di samping melahirkan kakitangan USIM yang mempunyai minda yang cerdas dan tubuh yang sihat.
Beliau turut mengumumkan bayaran insentif akan diberikan kepada pasukan staf yang memenangi pingat emas bermula 2017 iaitu sebanyak RM3,000. Pasukan yang menerima insentif tersebut adalah Pasukan Berbasikal dan Pasukan Catur.
Turut hadir Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), Prof. Dr. Mohd. Yahya Mohamed Ariffin selaku Pengerusi Pemilihan Anugerah Sukan USIM 2017 dan Pengarah Pusat Sukan, Hamran Husin.