Teach For Malaysia (TFM), sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan (NPO), ditubuhkan sejak 2012 untuk melaksanakan program intervensi bagi mengubah corak pemikiran pelajar, sekali gus meningkatkan prestasi akademik pelajar dari sekolah luar bandar dan kurang cemerlang.
TFM dilancarkan oleh Dzameer Dzulkifli dan Keeran Sivarajah, yang mendapat ilham daripada pengasas Teach for America, Wendy Kopp. Bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, misi organisasi itu adalah untuk menamatkan ketidaksamaan pendidikan di Malaysia.
Gerak kerja TFM berasaskan satu penyelidikan yang menunjukkan bahawa latar belakang sosioekonomi bukan sahaja memberi kesan terhadap corak pemikiran pelajar, lebih daripada itu kepada pencapaian pendidikan pelajar itu.
Dengan kata lain, pelajar yang kurang keyakinan diri dan mempunyai corak pemikiran negatif boleh berjaya dalam akademik sekiranya mereka sanggup mengubah dan diajar supaya membuang sistem kepercayaan mereka yang terbatas.
“Kanak-kanak yang membesar dalam keluarga berpendapatan rendah memerlukan sokongan yang berbeza dan budaya sekolah berlainan berbanding rakan-rakan yang berkemampuan,” kata ketua pemasaran TFM, Caryl Heah.
Yakin bahawa pendidikan dan masa depan anak-anak tidak boleh ditentukan oleh keadaan kehidupan mereka, TFM menganjurkan program biasiswa, yang mana siswazah baharu dan golongan profesional muda direkrut sebagai ‘felo’ untuk mengajar di sekolah-sekolah yang berkeperluan tinggi.
Dikatakan sebagai saluran utama pemerkasaan belia dalam pendidikan, TFM menempatkan 350 felo dan alumni di 120 sekolah menengah di 10 negeri sejak enam tahun lepas yang secara keseluruhannya memberi manfaat kepada 73,000 pelajar.
Felo-felo berkenaan ditugaskan di kira-kira 43 peratus sekolah luar bandar dan 79 peratus sekolah kurang cemerlang di negara ini. Pelajar yang disasarkan adalah daripada isi rumah B40 (Bawah 40 peratus) dengan pendapatan bulanan purata RM3,000 dan ke bawah.
Heah berkata, kesemua felo itu dilatih secara intensif sebelum ditempatkan di pelbagai sekolah di mana mereka bekerjasama dengan guru-guru lain untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi para pelajar, sekali gus memperbaiki prestasi akademik mereka.
Kalangan felo itu mengajar pelbagai subjek, tetapi majoritinya mengajar Bahasa Inggeris, Sejarah dan Reka Bentuk Teknologi. Ramai juga yang mengajar Matematik, Sains dan Geografi.
Felo TFM mempraktikkan rancangan mereka untuk memenuhi keperluan pelajar dengan mengenali mereka di dalam dan di luar bilik darjah.
Mereka juga membina pelbagai kemahiran dan mendapatkan sumber-sumber yang diperlukan untuk bilik darjah dengan bantuan guru, pentadbir dan anggota komuniti lain.
Menurut Heah, felo akan menganalisis penilaian terhadap pelajar untuk memastikan mereka maju ke arah matlamat akademik.
“Untuk menghalang para pelajar daripada keciciran dari sekolah, TFM memberi tumpuan ke arah menjadikan pendidikan relevan dan menarik,” katanya, sambil memberitahu bahawa beberapa felo TFM juga secara sukarela menganjurkan kelas dan aktiviti selepas sekolah untuk memperkasakan pelajar mereka. – BERNAMA