Mengimbau kembali kecemerlangan TVET, boleh dikatakan bermula pada tahun 1982 apabila Dr. Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri telah melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur (Jepun dan Korea) dalam usaha meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini.

Dasar itu juga diperkenalkan dengan matlamat untuk mewujudkan golongan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif seperti di kedua-dua negara itu untuk mencapai kemajuan negara.

Namun begitu, kecemerlangan itu semakin tenggelam di sebalik laungan transformasi yang kononnya mengangkat martabat TVET dalam landskap arus perdana.

Hakikatnya telalu banyak masalah yang menyelubungi seperti isu pengiktirafan lulusan TVET yang tidak dilayan setaraf dengan bidang akademik, pembiayaan pinjaman latihan dan peluang latihan yang sepatutnya sudah lama selesai.

Sejak tahun 2000 hingga kini, lagu yang sama berkumandang dan diulang-ulang setiap tahun sehingga kesannya masyarakat khususnya golongan belia tidak begitu yakin bahawa TVET adalah pilihan terbaik untuk mereka.

Lebih parah apabila para guru di sekolah sendiri tidak yakin yang latihan TVET boleh membantu mereka menangani isu sosial pelajar.

Memburukkan lagi keadaan apabila sektor industri terus-menerus melihat dan melayan lulusan TVET sebagai kelompok kelas kedua  yang tidak layak menerima pendapatan yang tinggi.

Antara cabaran besar pelaksanaan TVET yang menemui kebuntuan ialah tadbir urus yang tidak selaras, apabila terdapat dua badan akreditasi iaitu Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), mengakibatkan laluan artikulasi TVET menjadi tidak jelas, tambahan pula kurangnya input daripada pihak industri bagi pembangunan kurikulum sesuai.

Pada masa sama,  kerjaya berkaitan TVET dikenal pasti kurang mendapat pengiktirafan apabila ahli teknologis tidak dikategorikan sebagai profesional. Ini menambah kepadan penggajian yang tidak setimpal kepada golongan berkenaan serta kurang akses untuk mereka memasuki institusi pengajian tinggi.

Lebih membimbangkan apabila jurang kompetensi dalam kalangan tenaga pengajar semakin ketara, kerana rata0ratanya sekadar mempunyai pendedahan industri pada tahap yang minimum.

Dalam hal ini, isu paling besar dan mencabar ialah dana. Peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebanyak RM1 bilion kepada TVET walaupun dilihat besar, sebenarnya tidak relevan dalam usaha merancakkan penyertaan golongan belia dalam bidang ini.

Pengiraan mudah: RM1 bilion (2016-2020) adalah bersamaan RM200 juta setahun.

Dengan peruntukan RM200 juta bakal melahirkan sekitar 10,000 orang lepasan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM 3) menerusi latihan di institusi latihan berjumlah hampir 500 buah.

Realitinya, institusi yang ada hanya dapat melatih 20 orang pelatih setahun sedangkan kos operasi memerlukan bilangan yang lebih ramai. Akhirnya, institusi yang ada berdepan dengan dilema dalam hal pengambilan pelatih, malah kemungkinan besar akan ditutup secara besar-besaran. 

Golongan belia pula berdepan dengan masalah penyertaan dalam bidang TVET yang terbatas atau terbantut.

Justeru menjadi harapan besar penggerak TVET agar kecemerlangan bidang ini suatu ketika dulu, seperti yang dapat dilihat pada era kegemilangan Dasar Pandang Ke Timur, dapat dikembalikan menerusi pendekatan baharu yang lebih jelas hala tujunya, agar dapat  terus memartabatkan pembangunan TVET dalam arus perdana.