Begitu juga Norway yang keluar daripada belenggu kemiskinan sebagai salah satu negara paling miskin di Eropah suatu ketika dahulu, kini menjadi negara paling makmur di dunia. Ia mengutamakan pendidikan dan latihan bagi melahirkan insan-insan yang berdaya saing dan produktif.
Malaysia pula memilih untuk mencorakkan model pembangunan atas pelantar agenda ekonomi. Selepas merdeka, pelan pembangunan berkala, setiap penggal selama lima tahun digubal. 
Penggal pertama, Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1), 1966-1970. Apabila dasar ekonomi RMK-1 itu dipacu oleh pasaran, menyebabkan jurang ekonomi antara etnik semakin melebar. Akhirnya Malaysia menggubal Dasar Ekonomi Baharu (DEB) (1970-1990) bagi perbetul kesilapan itu. Selepas itu, sehinggalah Model Baharu Ekonomi (MBE) (2011-2020), semua dasar pembangunan negara bertunjangkan kemajuan (pertumbuhan) dan pembangunan.
Korea Selatan dan Singapura pula memilih National Service ala tentera (pertahanan dan keselamatan) sebagai pelantar melahirkan warga yang berdisiplin tinggi untuk mengemudi negara dalam semua bidang kehidupan. 
National Service mereka bukan untuk melahirkan warganegara tentera tetapi warganegara berdisiplin tinggi dan berdaya saing tinggi serta berintegriti tinggi kerana mereka yakin agenda keselamatan dapat menentukan atau mempengaruhi kekuatan minda dan jati diri warganegaranya dalam membangunkan negara.
Indonesia pula menyatukan rakyatnya dari ribuan pulau dalam ratusan etnik yang berlainan budaya, sebagai satu Bangsa Indonesia, di atas pelantar budaya nasional atau Pancasila.
Terkini, Singapura menukar pendekatan bagi mencorakkan pembangunannya dengan mengikut langkah Jepun dan negara-negara Nordics, menggunakan agenda pendidikan bagi melahirkan generasi yang berkarakter dan berwibawa, bukan sekadar insan yang berpendidikan tinggi semata-mata. 
Bayangkan warganegara Singapura suatu hari nanti yang kuat ‘set of characters’nya menerusi sistem pendidikan baharunya itu, yang diperkuat pula dengan set of national service yang telah terbukti berjaya. 
Sekarang inipun dalam ranking dunia mengenai Indeks Kemakmuran Global yang dikeluarkan oleh Legatum Institute of Prosperity, Singapura adalah negara rantau Asia yang paling makmur, hampir setanding dengan kebanyakan negara blok Nordics, New Zealand dan Australia.
Saya berpeluang mengikuti program lawatan ke Jepun selama hampir lima minggu ditaja oleh JICA, pada pertengahan tahun 1980-an. 
Ketika di sana, saya berkesempatan meninjau dan mengikuti hasil buah tangan usaha mereka melaksanakan The Third Educational Reform, yang memfokus kepada pembentukan budaya dan jati diri dalam kalangan pelajar sekolah, bermula dari peringkat pendidikan rendah. 
Setahu saya, pada masa itu pun sudah begitu ramai pegawai dari Kementerian Pendidikan dihantar ke Jepun bagi meninjau dan menilai perlaksanaan agenda pembangunan negara matahari terbit itu menerusi educational reform.
Mesej yang hendak saya kongsi di sini ialah bagaimana Jepun menggunakan agenda pendidikan (dan kebudayaan) bagi mencorakkan pembangunan insan dan negaranya. 
Berbeza dengan kita yang cuba mencorakkan agenda pembangunan di atas pelantar pertumbuhan dan pembangunan dengan pada masa yang sama, menggunakan pelantar-pelantar lain, terutama pendidikan, hanya sebagai pelantar enabler saja. 
Yang pastinya, pendekatan kita sejak DEB 1970 jelas memaparkan beberapa permasalahan yang kini kita hadapi dalam corak pembangunan negara dan para insannya.
Tak tahulah saya sama ada Jepun juga berdepan masalah sosial, masyarakat dan negara yang lebih meruncing berbanding dengan kita, kesan daripada corakan oleh Educational Reform itu. 
Tapi setahu saya, rata-rata masyarakat Jepun kini lebih berdisiplin. Bad apples tetap ada di dalam mana-mana masyarakat, tapi secara keseluruhannya, mereka lebih berbudaya dan berjati diri.
Saya juga kurang arif mengenai etnik-etnik lain di negara ini. Akan tetapi jika kita sorotkan keluhan Tun Dr Mahathir Mohamad, seperti mana yang diluahkan semasa Kongres Masa Depan Bumiputera Negara (KBN) 2018, itulah gambarannya mengenai kaum bumiputera. 
Penyudahnya, liputan media mengenai KBN 2018 itu lebih menjurus kepada luahan rasa hati beliau terhadap bumiputera dan tidak kepada resolusi yang dihasilkan oleh kongres itu.
Alhamdulillah, semasa melancarkan Kajian Separuh Penggal RMK-11 di Parlimen pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri melepaskan ikatan corak dan acuan pembangunan dari yang berpaksikan dan berpelantarkan pertumbuhan, kemajuan dan pembangunan semata-mata, kepada pembangunan yang diacu dan dicorakkan atas pelantar yang lebih holistik, dengan enam tiang seri yang utama. 
Ia dinamakan Agenda Kemakmuran dan dengan masyarakat yang begitu majmuk, disulami pula jurang ekonomi, pendidikan dan kekayaan yang lebar, Agenda Kemakmuran ini wajiblah agenda yang boleh dikongsi bersama.
MPM mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) yang dapat meyakinkan kerajaan untuk berislah kepada acuan dan corak pembangunan yang baharu: Tanggungjawab bersama membina dan berkongsi kemakmuran. 
EPU dan MEA telah memulakan langkah pertama ini. Diharapkan kementerian-kementerian lain, agensi-agensi Persekutuan dan Negeri, serta institusi-institusi berkaitan kerajaan yang lain memahami corak dan acuan baharu ini dan bergerak seiringan bersama EPU dan MEA dalam usaha membina kemakmuran yang dapat dikongsi bersama.