Majlis ini diserikan dengan kehadiran tetamu diraja Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud merangkap Canselor USIM.
Turut mengiringi, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM.
Majlis Santapan Diraja USIM ini julung-julung kali diadakan untuk meraikan kerjasama di antara USIM dan rakan-rakan industri sekaligus menambah jaringan industri dan mempergiatkan usahasama di antara kedua-dua pihak selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Profesor Datuk Dr. Zulkiple Abdul Ghani berkata, selain untuk menghargai kerjasama yang diberikan oleh industri, penganjuran majlis ini bertujuan mengumpul dana untuk melestarikan program-program wakaf dan bantuan kewangan kepada siswa USIM kurang berkemampuan.
“Dana sumbangan ini juga akan dimanfaatkan untuk program berbentuk kelestarian alam sekitar di dalam kampus USIM dan juga komuniti setempat. Saya percaya dengan kerjasama dan sokongan semua pihak, niat USIM bagi menggapai cita-citanya menjadi universiti rujukan dan terulung di peringkat global dalam pengintegrasian ilmu naqli dan aqli akan terlaksana,” ujarnya ketika berucap dalam majlis itu.
Antara rakan industri yang menerima penghargaan pada majlis itu adalah Yayasan Qatar, Yayasan Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Islam Sembilan, Maybank, RHB Islamic Bank Berhad dan QSR Brands (M) Holding Sdn Bhd.
Turut menerima penghargaan adalah Etika Takaful, Bank Rakyat, Permodalan Nasional Berhad, BSN Prudential Takaful dan Perumahan Kinrara.
Pada majlis sama, Etika Takaful juga berbesar hati menyerahkan sumbangan wang zakat berjumlah RM 100,000 kepada USIM untuk dimanfaatkan pelajar asnafnya. Sumbangan disampaikan oleh Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman selaku Ahli Lembaga Syariah Etika Takaful.
Selain itu, Bank Islam yang diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Zamani Abdul Ghani turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada USIM selaku penaja utama Majlis Santapan Diraja USIM bersama Industri 2018. 
Tetamu lain yang hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelaja dan Alumni), Profesor Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Dr. Roshada Hashim; wakil industri, fakulti dan alumni USIM.
Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan penuh bertenaga oleh legenda rock tanah air, Datuk Nash.