Majlis pentauliahan yang berlangsung di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini menyaksikan seramai 862 pelajar instusi pengajian tinggi (IPT) ditauliahkan sebagai Pegawai Muda berpangkat Leftenan Muda.
Bertemakan “Merakyatkan Pertahanan Awam”, pentauliahan ini melibatkan penyertaan dari 19 IPT awam dan swasta dari seluruh Malaysia serta hampir 300 orang urusetia yang terdiri daripada anggota APM peringkat pusat, negeri dan USIM.
Para pelajar dan urusetia terlibat telah berkampung di USIM secara rasmi bermula 8 Ogos lalu di Kolej Kediaman USIM di Nilai bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar.
USIM dan Kor Sispa USIM amat berbesar hati dipilih menjadi tuan rumah kali kedua selepas kali pertama diberi kepercayaan menganjurkannya pada 2011.
Ia adalah satu kepercayaan dan penghormatan oleh Kementerian Pendidikan dan APM kepada universiti atas kemampuan dan kejayaan penganjuran lalu.
Berazam menjadi tuan rumah terbaik, Kor Sispa USIM bekerjasama erat dengan pelbagai jabatan di USIM dan APM untuk memastikan keperluan berkaitan penginapan, logistik, teknikal dan kebajikan para tetamu berada pada tahap terbaik.
Bersempena pentauliahan ini, satu program sampingan iaitu larian “Fun Run APM” di dalam kampus USIM sejauh 5 km telah juga diadakan.
Larian berbentuk santai ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan baik antara anggota APM dengan masyarakat setempat dengan jangkaan penyertaan 400 peserta. Program ini juga merupakan satu aktviti kecergasan yang sesuai untuk semua lapisan umur masyarakat. 
Majlis Pentauliahan Kor Sispa IPT telah dimulakan dengan Majlis Perbarisan Tamat Latihan bertempat di pekarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM, yang kemudian disusuli dengan atur cara majlis penyampaian sijil pentauliahan di Dewan Tuanku Canselor.