Menariknya mahasiswa ini, dengan penyeliaan dari pensyarah mereka dan pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), telah membantu menyenggara beberapa rumah kediaman masyarakat Orang Asli yang sudah uzur di Kampung Sungai Kabuk, Ringlet, Cameron Highlands. 
“Mereka menyasarkan penduduk yang sudah tua dan tidak mampu untuk menguruskan keadaan rumah mereka, yang asalnya dibina oleh pihak kerajaan. 
“Rumah kediaman ini merupakan sebahagian daripada usaha JKM dan Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) bagi tujuan pelarasan semula penempatan mereka,” kata pensyarah Jabatan Ukur Bangunan, Fakulti Alam Bina UM, Dr. Rodiah Zawawi, yang juga merupakan penasihat program. 
Menurut Rodiah lagi, aktiviti yang dilakukan termasuklah menebas rumput, membersih kawasan persekitaran kediaman dan membaiki lantai serta tangga kayu. 
“Program ini memberi platform kepada mahasiswa untuk menerima pendedahan lapangan dalam mempraktikkan apa yang dipelajari di dalam bilik kuliah, terutama menerusi subjek Pengukuran dan Analisis Bangunan. 
“Secara tidak langsung mereka juga berpeluang mendekati masyarakat Orang Asli yang sering dianggap terpinggir dari aspek pembangunan,” katanya. 
Sukarelawan program turut mengambil peluang menggunakan kemahiran menyenggara bangunan dengan membaiki tangga dan lantai beberapa rumah yang telah dikenal pasti. 
“Saya teruja kerana berpeluang membaiki lantai rumah yang rosak di situ kerana mengetahui yang usaha kami bakal memberi manfaat kepada pemilik rumah. 
“Saya difahamkan penghuninya sudah tua dan uzur, dan tidak berkemampuan untuk melakukan kerja-kerja penyenggaraan sebegini yang amat memerlukan kekuatan fizikal,” kata mahasiswa tahun pertama jurusan ukur bangunan UM, Muhammad Nurhakim Mohd. Zin, yang mengetuai kumpulan sukarelawan ini.
“Program ini bakal diteruskan pada masa akan datang kerana manfaatnya yang bukan sahaja dinikmati secara langsung oleh pemilik kediaman, namun juga kepada sukarelawan yang terlibat. 
“Saya yakin semangat kerjasama yang ditunjukkan sesama mereka dapat meningkatkan daya saing, dan seterusnya kebolehpasaran kerja mereka dalam membina kerjaya di industri kelak,” kata Rodiah mengakhiri temu bual.