Pesanan ini juga barangkali kita boleh terjemahkan, jika ingin melihat masa depan negara bangsa, kita perlu juga melihat kepada bakal kerajaan yang dipilih dan kerangka dasar yang dibentangkan sebagai manifesto.

Itulah premis sebagai golongan anak muda, tidak kira yang sedang mengasah pemikiran di institusi pengajian atau di mana-mana kerja lapangan, bahawa mereka menginginkan masa depan yang lebih baik dalam semua aspek kehidupan berasaskan keperluan semasa dan semua fundamental yang ada.

Pandangan saya, golongan mahasiswa juga sebagai rakyat yang turut berhak menentukan kepimpinan negara pasti mempunyai pola pemikiran dan sudut pandang yang tersendiri.

Dalam menentukan kerajaan dan siapa yang akan dipilih, mahasiswa pastinya melihat kepada rujukan yang sedia ada.

Sejak merdeka sehingga ke hari ini, walau apa juga halangan yang telah tercatat dalam dokumentari sejarah, konsep kesepakatan yang diasaskan oleh Perikatan yang selepas itu dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) akhirnya telah diterima dan menjadi model ikutan kepada semua pihak yang hendak menawarkan diri menjadi kerajaan.

Hal demikian, sebab itulah kelompok intelektual muda perlu memiliki kebijaksanaan untuk mentafsir dan membezakan antara rasional dan emosional dalam membuat pilihan untuk terus memimpin kerajaan hari ini.

Jika pertimbangan rasional diambil kira, sudah tentulah kerajaan yang sedia ada perlu dipertahankan malah diperkukuhkan kerana disamping mempunyai visi yang jelas, kesepakatan yang lebih kukuh dan kerajaan yang ada juga dilihat akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan yang menjadi asas kepada rupa paras negara bangsa pada masa akan datang.

Inilah ‘frame’ atau kerangka masa depan negara, negara yang bertunjangkan perlembagaan dan demokrasi berparlimen, bukannya negara yang akan diubah dan dipinda menjadi sebuah negara republik.

Sedikit tentang kecaknaan kerajaan hari ini kepada golongan mahasiswa adalah seperti pemberian Kad Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan geran khas bernilai 10 juta selama 10 tahun melalui Skim 1Pelajar 1Pendaftaran Perniagaan, pendaftaran syarikat perniagaan percuma kepada mahasiswa dalam misi mengeluarkan golongan intelek yang lebih holistik dan mampu bersaing ke peringkat lebih tinggi.  

Antara konsep demokrasi yang kerajaan hari ini terjemahkan kepada golongan mahasiswa tidak lain dan tidak bukan adalah program berkonsepkan perdebatan seperti Parlimen Belia Malaysia (PBM), Persidangan Mahasiswa Nasional (Pemanas) dan Parlimen Mahasiswa.

Ini menunjukan sifat keterbukaan kerajaan pada hari ini cukup luas diberikan kepada anak muda terutama mahasiswa.

Persoalan ‘psywar’ atau perang siber dalam perebutan kuasa untuk menjadi kerajaan adalah bab kedua.

Masing-masing mendakwa mereka lebih baik dan mendakwa lawan mereka lebih buruk dengan gambaran pembunuhan karektor dan permainan persepsi.

Itu adalah resam dalam persaingan demokrasi, namun sebagai golongan intelektual muda, persoalan ini janganlah sampai menutup kebenaran persoalan asas atau fundamental.

Apa guna kita memilih yang kononnya baik dari sudut persepsi kerana dibina dengan terancang oleh pakar-pakar yang hebat, tetapi akhirnya kedudukan Islam terancam dan hak istimewa hilang.

Dalam sokongan dan kesepakatan mahasiswa terhadap kerajaan pada hari ini, semestinya kami ingin melihat sebuah pentadbiran yang terbaik.

Cuma yang membezakan sesebuah kerajaan yang akan memerintah selepas pilihan raya umum nanti menjadi kuat dan boleh menterjemahkan dasar menjadi realiti atau sekadar retorik adalah bergantung kepada kekuatan dan kukuhnya konsep perkongsian kuasa.

Jika perkongsiannya hanya dengan matlamat untuk menghadapi pilihan raya semata-mata, maka tentulah akan menjadi satu perkongsian yang rapuh dan pura-pura.

PENULIS ialah Ahli Parlimen Belia Malaysia dan Ikon Mahasiswa Nasional (Pemanas 4.0).