Hak dan tanggungjawab mengundi apabila genap usia 21 tahun, mahasiswa semestinya tidak terkecuali.

Seringkali dilabel sebagai generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara akan datang, mahasiswa yang kebanyakannya pengundi kali pertama (first time voters), masih berada di persimpangan, namun belum terlambat bahkan masih ada ruang untuk mereka membuat penilaian.

Sedikit tentang keprihatinan kerajaan hari ini kepada golongan mahasiswa ialah pemberian RM250 dalam Kad Siswa 1 Malaysia (KADS1M), pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma dan selepas tamat pengajian, mahasiswa dibantu dengan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) bagi memberi peluang kepada mahasiswa mendapatkan pengalaman dan diserap masuk bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pelbagai program kepimpinan di peringkat nasional telah dilaksanakan seperti Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) dan Parlimen Mahasiswa.

Ini jelas menunjukkan sifat keterbukaan dan keprihatinan yang cukup tinggi oleh pihak kerajaan kepada mahasiswa.

Transformasi Nasional 2050 (TN50) antara usaha jangka panjang yang difikirkan oleh kerajaan demi menjamin kelangsungan generasi muda dan sebagai generasi TN50, saya melihat usaha kerajaan ini sebagai sebuah langkah yang amat bijak.

Memetik kata- kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam sesi Dialog TN50 yang pernah saya hadiri: “Jika kita tidak memikirkan Malaysia 30 tahun akan datang sekarang, kita tidak akan pernah memikirkannya.”

Akhir kata, apabila dituntut oleh negara untuk menunaikan kewajipan sebagai pengundi, maka tunaikanlah kewajipan itu.

Jangan kerana takut tersalah pilih, kita tidak turun mengundi.

Setelah memilih, letakkan kepercayaan bahawa kerajaan yang dipilih akan melakukan yang terbaik untuk rakyatnya. Kuasa memilih di tangan kita, maka pilihlah.

PENULIS ialah Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM 2014/2015.