Pun begitu, adalah tidak wajar untuk menyalahkan mereka hidup sedemikian kerana jika difikirkan secara logik, tiada seorang pun manusia yang berfikiran waras mahu menjalani kehidupan yang tidak menentu dan penuh kesengsaraan jika mereka mempunyai pilihan yang lebih baik. 
Sehubungan itu, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Daerah Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong terpanggil untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik agar dapat diringankan beban dengan menganjurkan Program #KLKMprihatin 1.0 (Komponen Khidmat Masyarakat Anugerah Remaja Perdana). 
Program ini dianjurkan bersama Krew Pengakap Kelana (A) Gombak (Kagom Rovers) dengan kerja sama Rembau Sport Recreation Extreme Club (Resrec), Malaysian Aviation Training Academy (MATA) dan kumpulan sukarelawan yang lain. 
Pesuruhjaya Pengakap Daerah KLKM IKTBN Chembong, Affendy Zabkha Mohamad Zain berkata, “objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada ahli kelanasiswa (pelajar) untuk berhadapan masyarakat sekeliling yang berbeza latar belakang; mengisi aktiviti ahli kelanasiswa dengan program prihatin sama ada yang berkaitan dengan kemasyarakatan, keharmonian, kerohanian dan kebajikan; memberi peluang kepada ahli kelanasiswa untuk menyelami keadaan dan bersilaturahim dengan gelandangan; serta merapatkan hubungan antara kelanasiswa dengan kelab atau persatuan lain dan  masyarakat.
 Tambah beliau, matlamat program ini adalah untuk memantapkan sahsiah pelajar selari dengan falsafah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan memupuk semangat ukhwah dalam kalangan semua ahli kelanasiswa khususnya dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar amnya selaras dengan Komponen Khidmat Masyarakat ke arah Anugerah Remaja Perdana (ARP) dan Lencana Perkhidmatan bagi Pengakap Kelana ke arah Anugerah Baden-Powell.
Program ini berlangsung pada 2 ~ 3 Jun lalu dan lokasi pengagihan makanan kering dan keperluan lain seperti sabun dan lampin pakai buang dibuat di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. 
Program ini bermula seawal jam 6 petang dengan operasi pembungkusan makanan dan keperluan lain dilakukan dahulu di Selayang Bharu, Selangor. Peserta bergerak ke lokasi pada jam 10.30 malam selepas menunaikan solat tarawih berjemaah. 
Seramai 400 gelandangan termasuk ibu tunggal, kanak-kanak dan bayi menerima sumbangan dan sedekah hasil kutipan daripada individu dan korporat yang prihatin. 
Program ini berakhir jam 2.30 pagi dan selamat pulang ke IKTBN Chembong jam 6.00 pagi.