Selaku wakil tunggal negara ke pertandingan berprestij ini, kejayaan menyiapkan rumah solar MizanHome dalam skala sebenar ini adalah petunjuk bahawa pasukan ini telah bersedia untuk mempertaruh MizanHome di SDME 2018 yang akan berlangsung di Dubai pada November ini.
Pada 2016, penganjur utama SDME 2018 iaitu Dubai Electricity and Water Authority (DEWA) telah mengumumkan USIM bersama 21 buah universiti lain dari 16 buah negara antaranya UAE, Australian, Taiwan, Pakistan, Itali dan Amerika Syarikat layak ke pertandingan itu tahun ini.
Justeru itu, mulai tahun 2016 lagi, pasukan MizanHome yang menggabungkan kepakaran seni bina dan kejuruteraan USIM dan UTM mula bekerja bagi menghasilkan model rumah pintar yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar, selain perlu disesuaikan untuk menghadapi cabaran musim panas, habuk dan kelembapan yang tinggi di Dubai. 
Ia memberi cabaran dan pengalaman baharu kepada pasukan MizanHome untuk menghasilkan rumah ini kerana ia harus menepati konsep clean energy dan dilengkapi dengan teknologi terkini.
MizanHome yang dilancarkan secara rasmi di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Profesor Datuk Dr. Roshada Hashim memberi peluang kepada warga kampus untuk melihat luaran dan dalaman rumah solar ini secara dekat. 
“Universiti ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan kuat yang kita terima dari Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), agensi kerajaan dan lebih 13 rakan industri yang menghulurkan bantuan untuk merealisasikan projek ini,” katanya.
SDME dianjurkan dengan matlamat utama untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan mengenai inovasi perumahan yang cekap tenaga dan mampan. 
Di Dubai nanti, rumah yang dipertanding akan dinilai dari aspek penilaian seni bina, kejuruteraan untuk kelestarian dan inovasi bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah AED$10 juta (RM11.27 juta). 
MizanHome yang siap dipasang ini adalah model rumah dalam skala sebenar yang akan dibawa ke SDME.
 Pemasangan MizanHome ini di Malaysia juga bertujuan untuk melakukan uji cuba dan pemeriksaan terakhir sebelum ia dibuka semula dan dipasang sekali lagi di Dubai.