Golongan belia khususnya sudah tentu menarik nafas lega dengan pengumuman berkenaan memandangkan mereka menanggung beban permasalahan yang dilaporkan sedang menyelubungi program TVET. Kerajaan memperuntuk dana yang besar untuk TVET dan menurut Pengerusi Jawatankuasa tersebut, Nurul Izzah Anwar, untuk tempoh 2015 hingga 2017, sejumlah RM10 bilion dilaporkan dibelanjakan untuk program berkenaan.
Ketiadaan penyelarasan standard kualiti dan penilaian keluaran TVET menyebabkan pengendali TVET yang melibatkan tujuh kementerian dengan 500 institusi latihan bawah mereka bersaing untuk dilihat sebagai "jaguh" TVET.
Kementerian berkenaan ialah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pertahanan. Selain itu, TVET turut disertai agensi swasta yang menawarkan program teknikal melibatkan lebih kurang 900 buah institusi berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran dan 12 buah pusat pembangunan kemahiran negeri.
Apabila banyak persaingan antara kementerian dan agensi, sudah tentunya yang akan menjadi persoalan ialah kualiti lulusan TVET yang dihasilkan untuk menampung keperluan industri.
Kalau hendak diikutkan, Majlis Belia Malaysia (MBM) sudah sekian lama memperjuang isu TVET ini demi melahirkan golongan belia berkemahiran.
Ketua Penerangan MBM, Mohamad Rizan Hassan memberitahu, pihak industri dibelenggu oleh persoalan kualiti lulusan TVET kerana setiap kementerian mempunyai sistem dan pendekatan yang berlainan.
"Apabila kurikulum dan pensijilan tidak diseragamkan, masalah untuk majikan ialah meletakkan tangga gaji. Ada yang menyatakan lulusan Institust Kemahiran Belia Negara (IKBN) lebih bagus daripada Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan sebagainya. Sejak 2010 lagi, MBM sudah cadangkan agar TVET diletakkan bawah satu kementerian dan bawah satu badan pensijilan," katanya baru-baru ini.
MBM yang turut dipanggil untuk memberi cadangan kepada jawatankuasa itu akan menyampaikan isu ini sebagai satu perkara utama yang perlu diambil tindakan dalam usaha Transformasi TVET.
Kata beliau, pada masa ini, sijil untuk lulusan TVET dikeluarkan oleh dua badan pengiktirafan iaitu Malaysian Qualification Agency (MQA) bawah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bawah Kementerian Sumber Manusia. 
MQA mengakreditasi program vokasional serta teknikal yang ditawarkan oleh institusi seperti politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan dan latihan bawah Mara, manakala JPK pula mengakreditasi program latihan kemahiran yang ditawarkan oleh institusi seperti ILP dan IKBN.
"Ada juga institusi yang gunakan penarafan mereka sendiri. Jadi tidak ada pengkuatkuasaan jaminan kualiti pada sesuatu pensijilan itu," katanya.
Dalam era hari ini terutama berhadapan dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), sijil pada peringkat nasional sudah tidak mencukupi. Pelajar TVET memerlukan pensijilan antarabangsa agar mereka dapat peluang bekerja bukan sahaja di Malaysia tetapi juga bekerja di mana-mana negara di dunia.
Mohamad Rizan berkata, di kebanyakan negara yang melaksanakan TVET, kursus yang ditawarkan mempunyai pensijilan profesional yang diberikan oleh badan profesional yang bukannya daripada kerajaan.
Jika perkara itu diamalkan di Malaysia, barulah standard gaji pekerja berkemahiran di negara ini yang masih lagi rendah boleh ditingkatkan kerana sijil mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa, katanya.
Menurut Mohamad Rizan, perkara paling penting dalam transformasi TVET adalah penyertaan menyeluruh industri untuk memastikan program yang dilaksanakan lebih berjaya.
Konsep teaching factory yang banyak dilaksanakan di negara industri maju seperti Jerman dan Singapura terbukti lebih berjaya, katanya.
Jerman adalah contoh terbaik yang melaksanakan konsep gabungan antara industri dan institusi dengan mengeluarkan lulusan yang dinilai oleh industri sendiri.
Ujar beliau, sekiranya industri hanya menerima pelajar bagi menjalani latihan industri dalam tempoh yang singkat, transformasi yang diinginkan tidak akan berjaya dan akan kembali kepada TVET tradisional.
"Industri perlu memainkan peranan sebagai pengendali bersama-sama dengan institusi. Konsep teaching factory menjadikan pelajar itu dari hari pertama belajar hingga ke hari terakhir belajar, menjadi pekerja yang menghasilkan produk.
"Industri boleh menawarkan produk untuk dihasilkan dan dijual balik kepada syarikat.  Mereka (industri) boleh letakkan mesin dan sebagainya di institusi dan pelajar diberikan elaun dan ini akan dapat menjimatkan dana kerajaan," katanya banyak mesin yang ditempatkan di institusi latihan tidak dioptimumkan penggunaannya.
Katanya, MBM amat berharap jawatankuasa yang ditubuhkan akan dapat merangka masa hadapan yang lebih baik untuk belia TVET dan akan menyuburkan terus bakat dan kebolehan belia Malaysia. - BERNAMA