Program Geng Singgah Sahur anjuran Jawatankuasa Kebajikan Siswa/I (Jaksa) KKNC ini disertai 40 orang peserta dengan kerjasama Tazkiyatun Nafs Training & Consultancy dan sukarelawan Feed The Homeless - Malaysia.
Turut bersama dengan para pelajar ini adalah pengetua, felo kolej kediaman dan staf pejabat pentadbiran KKNC serta wakil dari Pusat Perumahan Pelajar USIM. Program bermula dengan semua peserta berkumpul di Stesen Bas Jalan Silang, Kuala Lumpur kira-kira pukul 12 tengah malam sebelum dibahagiakan kepada tiga kumpulan bergerak ke lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.
Antara lokasi mereka menyantuni para gelandangan ini untuk menyerahkan juadah sahur di sekitar Kotaraya, Puduraya, Masjid Negara, Chow Kit, Lorong Haji Taib dan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur sebelum semua kumpulan bertemu di lokasi terakhir iaitu di Dataran Merdeka.
Menurut Pengarah Program Geng Singgah Sahur KKNC, Muhammad Fiqran Hussin, selain menyerahkan sumbangan sahur berbentuk makanan, mereka turut mengagihkan pakaian terpakai kepada para gelandangan ini.
Tegas beliau juga, sebelum para peserta memulakan aktiviti bertemu gelandangan, pihak Tazkiyatun Nafs Training & Consultancy turut memberi penerangan langkah keselamatan yang perlu diberi perhatian untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Jalan dalam berkumpulan tidak berseorangan atau berpasangan, memakai pakaian yang cerah dan kasut sukan, tidak mengejutkan gelandangan yang sedang tidur, jangan memberi sumbangan dengan jarak terlalu dekat, mematuhi undang-undang pejalan kaki dan segera meninggalkan lokasi jika terdapat gelandangan yang melakukan provokasi,” ujar Fiqran yang juga menganggotai Biro Pembangunan Insan Jaksa KKNC berkongsi mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil.
Sebagai pengarah program, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini dengan menyumbang tenaga dan idea, serta keringat.
“Tanpa rakan-rakan Jaksa, Sekretariat Pembangunan Insan dan sukarelawan, program ini tidak akan berjalan dengan baik seperti dirancang,” tambah siswa yang mengambil jurusan Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-undang ini.
Sementara itu, Tazkiyatun Nafs Training & Consultancy dalam satu kenyataan turut melahirkan penghargaan kepada para pelajar USIM atas komitmen dan kerjasama menjayakan program ini. Pihaknya  turut berbesar hati kerana dipilih menjadi rakan kerjasama menjayakan program ini dan turut memberi komitmen untuk terus melakukannya dengan program lain anjuran USIM pada masa hadapan.
Program Geng Singgah Sahur KKNC ini berakhir pukul 4 pagi dengan penyampaian cenderamata dari pihak KKNC kepada wakil Tazkiyatun Nafs Training & Consultancy dan Feed The Homeless - Malaysia yang disampaikan oleh Pengetua Kolej Kediaman KKNC, Muhammad Izuan Ab Ghani, disusuli dengan sesi bergambar.