Statistik kemalangan jalan raya yang membimbangkan terutamanya peningkatan yang mendadak pada musim perayaan pastinya meresahkan dan menyedihkan kerana turut melibatkan kehilangan nyawa insan tersayang.

Justeru, bagi memberi kesedaran dan nasihat kepada mereka yang menggunakan pelbagai medium pengangkutan untuk pulang berhari raya, USIM bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sembilan melancarkan kempen khusus keselamatan di jalan raya kepada warga kampus. 

Kempen Keselamatan bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri ini telah dilancarkan secara bersama oleh Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad dan Pengarah JKJR Negeri Sembilan, Zaiton Ipah pada Jumaat lalu. Pelancarannya diadakan bertempat di lobi Canselori USIM dengan diurusetiakan Jabatan Keselamatan USIM.

Melibatkan kira-kira 200 warga universiti yang menggunakan pelbagai jenis kenderaan, program kempen ini dimulakan dengan bacaan ikrar keselamatan jalan raya oleh warga kampus yang diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Muhammad Faris Abd Gani, diikuti dengan doa keselamatan dan kesejahteraan semasa pulang ke kampung halaman. 

Pelancaran kempen ini disempurnakan dengan acara pelepasan konvoi motorsikal berkuasa tinggi yang terdiri daripada kakitangan USIM, konvoi motorsikal oleh para pelajar dan seterusnya mereka yang memandu kenderaan. Naib Canselor bersama Pengarah JKJR Negeri Sembilan turut mengambil peluang menitipkan nasihat memandu berhati-hati kepada setiap pemandu disamping turut mengagihkan sumbangan berbuka puasa dan Hari Raya Raya.

Penganjuran kempen sebegini merupakan kempen keselamatan jalan raya yang berkala dianjurkan oleh USIM kepada warganya. Bagi mempelbagaikan input kempen, Jabatan Keselamatan USIM akan bekerjasama dengan pelbagai agensi strategik dan agensi penguatkuasaan untuk menganjurkan kempen ini secara bersama pada setiap tahun.

Naib Canselor melahirkan rasa gembira dengan inisiatif penganjuran kempen ini kerana ia secara langsung turut membantu usaha Kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan semasa musim perayaan. Beliau turut menasihatkan  agar kenderaan yang digunakan telah diservis dan diperiksa dengan baik dan memastikan memandu dalam keadaan fizikal yang sihat, segar dan bertenaga terutamanya untuk perjalanan yang jauh.

Pelepasan konvoi kakitangan USIM pulang ke kampung yang bermula tepat jam 4.30 petang ini berakhir kira-kira sejam kemudian. Turut hadir memberi sokongan dan menjayakan kempen ini Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Zulkiple Abd Ghani; Pendaftar, Encik Muhammad Haizuan Rozali; Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Profesor Dr. Mohd. Yahya Mohamed Arifin; dan Pengarah Jabatan Keselamatan, Kapt (B) Abdul Wahab Md Zin.