Program selama dua hari satu malam itu dikendalikan oleh Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi (Jaksa) Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC) USIM, dan disertai seramai 16 orang Jaksa serta pengetua dan felo kolej kediaman.

Beberapa program dilaksanakan bagi menyantuni penduduk kampung Simpang Gelami yang turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kariah Masjid Sungai Relai, kampung berkenaan sehingga berjaya mencapai objektif penganjurannya. Antara aktiviti yang dilaksanakan berteraskan kepada empat sanggar iaitu Sanggar Sihat, Sanggar Sukan, Sanggar Ilmu dan Sanggar Bakti.

Menurut Pengetua KKNC, Muhammad Izuan Ab Ghani, pelaksanaan program ini digerakkan dengan sebaik-baiknya oleh mahasiswa yang terlibat.

“Pada masa ini, pelajar sebenarnya sedang bercuti panjang semester sehingga awal September nanti, tetapi bagi menjayakan program ini, mereka pulang awal dan berada di kampus untuk menguruskan segala gerak kerja yang berkaitan.

“Pengisian hari pertama kita bersama penduduk kampung ialah ceramah agama selepas solat Maghrib di Masjid Kariah Sungai Relai yang bertemakan akidah yang sohih (betul) asas kepada kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Alhamdulillah khalayak yang hadir memberangsangkan dan reaksi yang diterima adalah baik” ujar Muhammad Izuan.

Pengisian pada hari kedua lebih berbentuk interaksi langsung dengan penduduk kampung dan melibatkan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah senaman cergas bersama penduduk kampung, sukaneka dan mewarna bagi kanak-kanak, kelas bimbingan bacaan Al-Fatihah dan tajwid serta gotong-royong membersihkan persekitaran masjid.

Bagi golongan ibu, turut diadakan demontrasi masakan Melayu Johor dan bagi yang dewasa berpeluang untuk mendapatkan rawatan Islam yang dikendalikan oleh Darus Syifaa’.

Bagi Pengarah Program ini, Mohd Zulkarnain Mohammad, peluang kepada mahasiswa untuk menyantuni masyarakat secara langsung sebegini merupakan satu pendedahan yang baik buat mereka dalam membina kematangan diri, pemikiran dan pergaulan.

“Sebagai mahasiswa, apabila universiti telah menyediakan platform untuk terlibat dalam program sukarelawan seperti ini misalnya, ia seharusnya diambil peluang kerana manfaat yang diterima begitu banyak sekali. Kesukarelawan mampu membentuk jati diri yang unggul, mendidik kita untuk sentiasa bersyukur, ringan tulang untuk membantu mereka yang memerlukan serta menjiwai kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Jelajah Sukarelawan USIM 2018 ini satu projek besar yang julung kali digerakkan oleh USIM yang melibatkan penyertaan fakulti, kolej kediaman dan badan pelajar melaksanakan program kesukarelawan di Negeri Sembilan khususnya dan beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.

Projek yang mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Sembilan dalam bentuk dana ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dengan masyarakat khususnya luar bandar yang dapat mengukuhkan lagi agenda integrasi Ilmu Aqli dan Naqli serta membentuk warga kampus yang cakna dan prihatin.