Selepas kempunan ke separuh akhir semalam, keputusan Persatuan Bola Sepak Orang Pekak Antarabangsa (DIFA) baru-baru ini untuk menghantar sebanyak lima pasukan mewakili Asia Pasifik ke Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Piala Dunia itu tahun depan, memberi harapan kepada pasukan MDT. 

Keputusan itu ditentukan berikutan pasukan Korea Selatan selaku tuan rumah bagi Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asia Pasifik Kali Keempat layak secara automatik ke slot Piala Dunia 2020.

Sementara itu, perlawanan kelima Kumpulan A pagi semalam, menyaksikan MDT dan Jepun terikat dengan keputusan seri 1-1 hasil jaringan awal pasukan matahari terbit itu menerusi sepakan penalti pada minit ke-15,  disusuli gol penyamaan yang dijaringkan Mohamad Amiruddin Ghazali hasil hantaran Mak Chee Weng yang mengelirukan perangkap offsides lawan pada minit ke-40.

Menyambung babak masa kedua, pasukan MDT diuji pula dengan serangan bertubi-tubi pasukan Jepun sehingga memaksa anak didik Manachai Sitthisarn, jurulatih pekak dari Thailand untuk bertahan.

Akhirnya kekebalan pertahanan MDT ditembusi pada minit ke-98 hasil jaringan ketua pasukan Jepun seterusnya meranapkan impian MDT untuk mara ke separuh akhir.

MDT yang tewas tipis 1-2 dengan pasukan Jepun pagi semalam terlepas slot ke pusingan separuh akhir.

Dengan baki perlawanan bertemu Oman, MDT masih memiliki peluang terakhir bagi merebut tempat kelima kejohanan untuk melayakkan negara ke Piala Dunia 2020. Malaysia akan bertemu pasukan Oman pada esok, 4 Mei bagi penentuan tempat kelima dan keenam.