Ketua Pemasaran Produk Digital Utusan Malaysia, Mohamad Asra Adlan Mohamed Asri berkata, melalui platform tersebut mereka dapat menulis dan melahirkan pandangan generasi muda tentang isu-isu semasa.

“Selain menggalakkan pemikiran kritis, ia juga dapat menambah pengetahuan serta mencungkil bakat dan mem-pertajam kemahiran menulis dalam kalangan pelajar.

“Malaysia Kita juga dibangunkan supaya generasi hari ini sentiasa mendapat maklumat berita yang benar dan intelektual melalui E-Paper Utusan Malaysia,” katanya selepas Majlis Penyerahan Tajaan Program Malaysia Kita kepada pelajar dan pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor hadir bagi menyempurnakan penyerahan tajaan tersebut kepada Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Datuk Dr. Roshada Hashim.

Menurut Mohamad Asra Adlan, ruangan Malaysia Kita juga membuka peluang kepada pihak universiti untuk berkongsi dengan masyarakat pencapaian dan aktiviti yang dianjurkan menerusi akhbar arus perdana.

Jelasnya, wakil pelajar boleh menyalurkan sebarang program dan aktiviti universiti masing-masing untuk disiarkan dalam ruangan Malaysia Kita dengan melayari Utusan Online (http://www.utusan.com.my) atau pergi terus ke http://bit.ly/hantarartikel. - UTUSAN ONLINE