Melalui program berbentuk jelajah yang disertai oleh mahasiswa USIM ini, mereka akan bersama masyarakat kampung terpilih di seluruh negeri ini untuk melaksanakan pelbagai program berbentuk khidmat masyarakat

Pada Sabtu lalu, majlis perasmian Khidmat Masyarakat Jelajah DUN USIM 2018 telah diadakan di Kampung Serting Ulu, Jempol, yang disempurnakan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, secara amnya, program Jelajah DUN ini melibatkan sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri di dalam Negeri Sembilan.

"Kami juga merangka beberapa program sampingan khusus untuk Negeri Sembilan iaitu program Jelajah Daerah dan Jelajah Kejiranan. Bagi Jelajah Daerah melibatkan tujuh daerah di Negeri Sembilan, manakala Jelajah Kejiranan melibatkan sembilan kejiranan di kawasan sekitar Nilai.

“Program ini sejajar dengan output USIM untuk menjadi nombor satu di hati dan di minda masyarakat. Secara tidak langsung, kesemua program ini dapat mengeratkan lagi hubungan para pelajar USIM dan dengan komuniti setempat,” ujarnya.

Program dimulakan pada awal pagi dengan Tunku Ali Redhauddin berkenan untuk bersama-sama siswa USIM dan kira-kira 200 orang penduduk setempat dan pelajar sekolah sekitar mendaki Bukit Beruang yang terletak berdekatan Taman Rekreasi Serting Ulu.

Pendakian ini juga adalah simbolik kepada Perasmian Bukit Beruang sebagai Destinasi Pelancongan Rekreasi Daerah Jempol.

Turut sama mendaki Pro-Canselor ialah Naib Canselor USIM dan Pegawai Daerah Jempol, Datuk Zazali Salehudin. Timbalan Naib Canselor (TNC)  (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan TNC (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Zulkiple Abdul Ghani, juga ikut serta.

Dalam pengisian seterusnya, Tunku Ali Redhauddin turut berkenan bergotong-royong bersama penduduk kampung dan siswa USIM untuk menceriakan Masjid Kariah Serting Ulu. Di masjid ini juga, Pro-Canselor USIM turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada USIM berbentuk keperluan dapur kepada para asnaf di kampung ini.

Aktiviti lain yang turut dijalankan untuk penduduk kampung adalah pemeriksaan kesihatan oleh Urusetia Perubatan Perlindungan Pelajar, Pusat Kesihatan USIM, kem tahsin solat bersama Sekretariat Pusat Islam USIM, kem motivasi dan sukaneka anjuran Pusat Sukan USIM. Pada sebelah malamnya selepas solat Maghrib diadakan forum khas agama, persembahan kesenian oleh Urusetia Kesenian Pelajar USIM dan diikuti dengan majlis perasmian penutup.

Kejayaan penganjuran program sulung Khidmat Masyarakat Jelajah DUN USIM 2018 bersama penduduk kampung Serting Ulu ini hasil kerjasama erat dengan Pejabat Daerah Jempol dan Jawatankuasa Kerja Kampung Serting Ulu.