Ditubuhkan pada tarikh 23 Julai 1948, MBM terus relevan dalam melahirkan ramai pemimpin yang hebat dan menariknya, pertubuhan itu terus kekal diterima sebagai medium untuk orang muda berbakti.

Sambutan 7 Dekad bersama MBM disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta dimeriahkan dengan kehadirian dua ikon MBM, Black Hanifah dan Shahrol Shiro.

Turut hadir, Presiden MBM, Muamar Ghadafi jamal Jamaluddin.

Tarikh 23 Julai 2018 dipilih sebagai salah satu tarikh bagi program 7 Dekad bersama MBM kerana ia melambangkan satu tempoh perjuangan yang cukup lama ditempuhi oleh golongan belia.

Pelbagai program juga telah disusun selama dua hari di Bangi Avenue Convention Centre oleh MBM seperti Konvokesyen Belia Mahir, Pameran Pendidikan dan Kerjaya, Seminar Belia Berisiko, Ekspresi Anak Muda, Segmen Wanita dan himpunan sukarelawan.

Menurut Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup, program 7 Dekad bersama MBM menerima kunjungan hampir 10,000 orang dan tujuan untuk memberikan pelbagai informasi kepada pengunjung diharap mampu mencapai sasaran.

“MBM juga berharap golongan belia tidak terlepas maklumat penting seperti inisiatif kerajaan yang komited membantu belia dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kerjaya, keusahawan serta peluang perniagaan.

“Semoga inisiatif ini mencetuskan satu babak penting dalam ikatan perpaduan sesama ahli dan mengembalikan nostalgia perjuangan MBM yang didokong oleh segenap lapisan masyarakat. - UTUSAN ONLINE