Melalui program Salam Anak Muda, MBM mendekati belia di akar umbi bagi menyelami aspirasi mereka untuk pembangunan belia negara.

Sesi percambahan secara santai ini memberi ruang berbincang dan bertukar-tukar pandangan bersama pimpinan belia kebangsaan.

Kelompok belia di luar bandar adalah salah satu kelompok belia yang menjadi keutamaan dalam Dasar Belia Malaysia. Pendedahan dan perkongsian berkaitan konsep Pembangunan Belia Positif menguatkan keazaman mereka untuk terus bersama persatuan belia sebagai wadah membangunkan personaliti dan kendiri.

Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup dalam ucapannya menegaskan bahawa menyertai persatuan belia adalah satu pilihan dan pilihan yang dibuat itu perlu dipastikan terbaik terhadap diri untuk memperkasa diri dan membangunkan masyarakat.

Majlis santai yang dijalankan di Kompleks Rakan Muda  Baling ini turut dihadiri oleh lagenda bolasepak negara Azman Adnan. Turut hadir Pengerusi Majlis Belia Daerah Baling  dan Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Kedah, Hamdan Jamil serta Exco MBM.

Untuk rekod sebuah badan gabungan MBD Baling iaitu Gerakan Belia 4B Kawasan Baling  pernah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Perdana Kategori Pertubuhan belia 2016 dan penerima Anugerah Persatuan Terbaik ASEAN 2016.