Penganjuran program ini adalah di bawah projek khas iaitu Jelajah Sukarelawan USIM yang melibatkan penyertaan mahasiswa, jabatan, fakulti dan kolej kediaman melaksanakan program kesukarelawan di pelbagai lokasi di seluruh negara.

BHEP USIM telah mengadakan Jelajah Sukarelawan USIM 2018: Jelajah Negeri Sabah (Pulau Mabul) baru-baru ini dengan disertai seramai 12 kakitangan BHEP bersama lima orang siswa Gap Year USIM. Diadakan bermula 2 hingga 6 Ogos 2018, program ini mendapat kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Majlis Keselamatan Negeri Sabah yang memfokuskan kepada penduduk Pulau Mabul di bawah Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP).

Menurut penyelaras program ini, Fazhiruddin Kamaruddin, projek Jelajah Sukarelawan USIM 2018 merupakan satu projek besar yang julung kali digerakkan oleh USIM dengan kerjasama pelbagai jabatan dalaman. Projek ini yang menyasarkan semua negeri dalam Malaysia bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengukuhkan lagi agenda integrasi Ilmu Aqli dan Naqli serta membentuk warga kampus yang cakna dan prihatin.

“Kita amat gembira kerana projek ini mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Sembilan yang berbesar hati menyalurkan sejumlah peruntukan untuk Jelajah Sukarelawan USIM. Semasa di Pulau Mabul, aktiviti kesukarelawanan yang dilaksanakan terbahagi kepada empat Sanggar utama iaitu Sanggar Sihat, Sanggar Sukan, Sanggar Ilmu dan Sanggar Bakti.

“Setiap Sanggar ini mempunyai aktivitinya tersendiri, sebagai contoh Sanggar Sihat fokus kepada mengajar anak-anak penduduk Pulau Mabul cara-cara yang betul menggosok gigi dan membersihkan rambut. Secara keseluruhannya, program yang kita laksanakan di Pulau Mabul ini bukan sahaja melihat impak pada masyarakat yang disantuni tetapi turut melatih kakitangan agar lebih peka dalam mengendalikan permasalahan sosial yang berkaitan di samping mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan yang perlu dipraktikkan oleh sesebuah universiti,” ujarnya yang juga Penolong Pendaftar Unit Kepimpinan Pelajar.

Sementara itu, menurut Kapten Effendi Mohammad Noor, pegawai dari Pejabat Wilayah Tawau, MKN Sabah amat mengalu-alukan program seperti ini dan boleh diteruskan lagi ke lokasi lain di Sabah.

Katanya lagi, aktiviti yang dijalankan oleh kakitangan BHEP memberi impak yang positif bukan sahaja kepada anak-anak penduduk Pulau Mabul, bahkan juga kepada 200 keluarga yang menetap di pulau tersebut.

Pegawai IRM Sabah, Fathi Ridhwan Saidin yang turut serta dalam jelajah ini berkata, IRM sebagai rakan strategik USIM sangat menyokong penuh projek seperti ini.

“Apabila USIM menyatakan hasrat untuk mengadakan projek kesukarelawanan di Pulau Mabul, kami telah memberikan bantuan dan sokongan sepenuhnya kepada pihak USIM dari aspek logistik dan lain-lain. Alhamdulillah, projek ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan kami merancang untuk mengadakan Projek Jelajah Sukarelawan USIM : Pulau Mabul 2.0 pada tahun hadapan pula,” ujarnya.