Lawatan Penanda Aras ke Kolej Kediaman Tun Abdul Razak Unimap itu disertai seramai 25 pelajar Kolej Kediaman Nilam Court USIM bersama Pengetua dan Felo Kolej Kediaman.

Pengetua Kolej Kediaman Nilam Court USIM, Muhammad Izuan Ab Ghani berkata, dalam lawatan itu ahli jawatankuasa berpeluang melihat sendiri pengurusan dan bentuk program anjuran kolej kediaman universiti awam lain untuk para penghuni khususnya yang berbentuk pembinaan sahsiah diri dan pembangunan akademik. 

Melalui perkongsian pengalaman ini, tambahnya, program yang bersesuaian boleh di implementasikan di Kolej Kediaman Nilam Court untuk manfaat para penghuninya.

“Pendekatan kita melaksanakan lawatan penanda aras ke kolej kediaman universiti awam adalah untuk membina jalinan strategik baharu dengan kolej kediaman yang dilawati. 

"Melalui lawatan penanda aras yang dibuat sebelum ini, banyak input menarik kita dapat dan kita terapkan dalam pengurusan dan pentadbiran kolej kediaman di sini” ujarnya.

Kolej kediaman turut memainkan peranan penting dalam melahirkan mahasiswa yang holistik dan seimbang menepati model Graduan Integrasi Ilmu Naqli Aqli yang USIM ingin lahirkan. 

Justeru dengan beberapa siri lawatan penanda aras yang telah dan akan dilaksanakan, diharapkan dapat membentuk model pengurusan kolej dan program pelajar yang terbaik.

Sementara itu,  Pengerusi JAKSA Kolej Kediaman Nilam Court, Mohd Zulkarnian Mohammad yang turut sama dalam lawatan ini berterima kasih atas kesudian pihak Kolej Kediaman Tun Abdul Razak Unimap menerima kunjungan mereka. 

Kedatangan rombongan ini disambut baik oleh kakitangan kolej dan Majlis Penghuni Kolej Kediaman Tun Abdul Razak serta berpeluang menginap di sana selama satu malam. 

“Melalui lawatan ini, ia juga menjadi platform untuk memperkenalkan USIM dan Kolej Kediaman Nilam Court dan sebaliknya juga.

"Melalui sesi taklimat, soal jawab dan perbincangan meja bulat antara kakitangan pengurusan kedua-dua kolej yang diaturkan, ia membuka ruang untuk kedua belah pihak mendapat dapatan-dapatan yang baharu.

"Malahan kami sendiri sebagai badan pelajar rasmi di Kolej Kediaman Nilam Court amat teruja bila dapat bersama-sama dengan rakan-rakan kami dari Majlis Penghuni Kolej Kediaman Tun Abdul Razak yang memainkan peranan seperti kami di USIM. Banyak yang dapat kami contohi dan ingin aplikasikannya kelak di USIM” ulas Zulkarnian.

Sempena dengan lawatan penanda aras ke Unimap ini juga, ahli rombongan turut mengambil peluang mengunjungi beberapa tempat menarik yang menjadi tarikan istimewa negeri yang terletak hujung di utara ini.

 Antara destinasi yang dilawati adalah Padang Besar, Gua Kelam, Kuala Perlis dan Masjid Terapung Al-Hussain.