Program yang akan berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 November 2018, adalah satu seminar tahunan yang dikoordinasikan oleh empat buah universiti Islam di Asia Tenggara iaitu USIM, Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor Indonesia, Universitas Islam Sultan Syarif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam dan Universiti Fatoni, Thailand.

SeIPTI2018 bukan sahaja memberi peluang kepada ahli akademik USIM malah dari peringkat Asia Tenggara amnya, serta para penyelidik, pelajar pasca siswazah, para pentadbir, pengamal media, agensi-agensi kerajaan dan NGO yang berminat dalam bidang pembangunan pendidikan tinggi Islam untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi seterusnya mencari resolusi terbaik dalam usaha mengeratkan jaringan intelektual serta penyelidikan serantau. Ini selaras dengan tema penuh SeIPTI2018 iaitu Merintis Kampus Barakah dalam Institusi Pengajian Islam Global.

Selain konsep Barakah, USIM juga membawa kelainan dengan mengetengahkan elemen Kepemimpinan Berdasarkan Qalbu untuk diperkenalkan dan dihayati oleh semua peserta terutamanya kepada tiga rakan strategik UNIDA, UNISSA dan Universiti Fatoni.

Dengan menjemput tokoh-tokoh kepemimpinan dalam pendidikan tinggi, USIM percaya penganjuran SeIPTI kali ini akan mengupas lebih banyak isu kepemimpinan pendidikan tinggi yang bersifat global dalam usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi Islam khususnya.

Pelajar dan pendidik sektor kerajaan dan swasta yang berminat untuk menyertai program ini boleh layari http://seipti2018.usim.edu.my/ untuk butiran lanjut.