Pada majlis ini juga kesemua 15 peserta yang menjadi finalis SMDE 2018 termasuk Rumah Solar Mizan selaku wakil tunggal Malaysia dan Asia Tenggara diperkenalkan secara rasmi kepada para hadirin.  

Rumah Solar Mizan-Dubai

 Peserta Rumah Solar Mizan USIM-UTM diperkenalkan secara rasmi kepada Pemerintah Dubai dan hadirin semasa majlis perasmian SDME 2018 sebentar tadi.

Kriteria utama yang perlu diikuti oleh peserta SDME ialah rumah pintar yang dibina perlu beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar selain perlu disesuaikan untuk menghadapi cabaran suhu panas, habuk dan kelembapan yang tinggi di Dubai.

Justeru, sebanyak tujuh inovasi menggunakan teknologi terkini ditampilkan pada Rumah Solar Mizan USIM-UTM dalam SDME ini.

Rekaan Rumah Tiga Lapisan

Bagi menghalang kesan ribut pasir pada kediaman, rekaan rumah mengintegrasikan konsep Mashrabiya yang diinspirasikan dari mata unta yang mempunyai tiga kelopak mata yang memberi perlindungan pada matanya semasa ribut pasir.

Konsep itu diterapkan pada rumah ini dengan penanaman pokok berdaun sebagai lapisan pertama, diikuti pelindung atau bidai cahaya matahari bermotifkan bunga tabur songket Melayu dan lapisan ketiga adalah pintu serta tingkap khas yang tahan suhu tinggi, tekanan angin, habuk dan haba.  

Teknologi Grey Water System

Sistem penapisan air berteknologi nano yang mengitar semula air yang telah digunakan di dalam rumah menjadi bebas bakteria untuk digunakan semula untuk pelbagai tujuan seperti berwuduk (air mutlaka) dan minuman 

Pendebat Dinding Organik

Mengurangkan kesan haba panas luar dirasai di dalam rumah, pendebat dinding yang digunakan diperbuat dari sisa bahan buangan pokok kelapa sawit seperti daun dan batang pelepahnya. Pendebat dinding dari bahan semula jadi apabila dikormersialkan kelak secara tidak langsung boleh memberi pendapatan tambahan kepada para peladang selain bergantung pada hasil sawit.

Ice Storage System

Inovasi terkini dalam sistem penyejukan rumah kediaman yang kali pertama diperkenalkan dan dipasang pada Rumah Solar Mizan untuk uji cuba.

Melalui sistem ini, alat pendingin hawa menyejukkan ruang dalam kediaman menggunakan gas atau wap sejuk dari ais yang disimpan dalam tangki khas mengikut keperluan penghuni. Kitaran ini menjadikan penggunaan tenaga yang lebih rendah dan lestari berbanding pendingan hawa konvensional

Sistem Tenaga Hibrid

Panel solar khas akan menyimpan tenaga elektrik yang dijana dari matahari dalam bateri khas sebelum diagihkan ke sistem grid utama Rumah Solar Mizan. Melalui teknologi ini, ia akan meminimakan penggunaan elektrik yang dibekalkan oleh pihak penyedia bekalan elektrik misalnya di Malaysia oleh Tenaga Nasional Berhad.

Aplikasi Smart Home

Mengawal sistem elektronik seperti pencahayaan lampu kediaman dan alat elektrik lain hanya dihujung jari sahaja dan ia boleh dilakukan di mana-mana tanpa dibatasi oleh jarak lagi.

Rumah ini juga dilengkapi dengan sistem audio automatik untuk azan bagi setiap waktu solat dan doa tertentu contohnya apabila sensor mengesan penghuni ingin masuk dan keluar dari kediaman atau menggunakan bilik air.

Inovasi Pembinaan Modular Cage

Inovasi ini membolehkan sesebuah kediaman dapat disiapkan lebih cepat iaitu mengambil masa sekitar 14 hari sahaja apabila rekabentuk rumah dibahagikan kepada rangka asas tertentu dan digabungkan secara bersama di tapak projek.

Setelah melalui tempoh masa pembinaan yang mencabar selama 14 hari seperti yang ditetapkan oleh penganjur SDME iaitu Dubai Electricity and Water Authority, kini ia memasuki fasa kedua yang lebih mendebarkan iaitu penilaian panel juri yang bermula  dari 18 hingga 22 November sebelum keputusan rasmi diumumkan dalam satu majlis khas pada 28 November.

Projek Rumah Solar Mizan adalah kolaborasi strategik kepakaran dua buah universiti awam iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai universiti peneraju bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).