Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Misri Mistama berkata, bidang teknikal dan vokasional bukan lagi menjadi pilihan terakhir sebaliknya semakin mendapat pengiktirafan masyarakat dunia.

"Hal ini kerana kedua-dua bidang ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri terhadap pembangunan ekonomi negara," katanya ketika merasmikan Pameran Belia Mahir 2018 Peringkat Daerah Port Dickson yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kg. Baru Si Rusa, di sini baru-baru ini.

Misri menambah, TVET membantu individu membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk sektor pekerjaan, pemilihan kerjaya sesuai dan keusahawanan.

Sebanyak 16 institusi latihan kemahiran menyertai pameran ini yang disertai oleh 300 pelajar dari 11 buah sekolah menengah di daerah Port Dickson. Progam ini adalah anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM), Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) dan Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson.

Dalam pada itu, MBM yang diwakili oleh Ketua Penerangan, Mohammad Rizan Hassan berkata, dengan menyediakan kemahiran yang penting melalui program TVET, negara bukan saja menyediakan belia untuk pasaran buruh tetapi juga modal insan untuk pembangunan negara.

"Pemerkasaan bidang TVET mampu memenuhi pelbagai tuntutan ekonomi, sosial dan alam sekitar, sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang adil, inklusif dan mampan,” katanya.

Menurut Mohammad Rizan lagi, selama ini TVET dianggap sebagai pilihan terakhir dalam pendidikan dan pilihan kerjaya disebabkan persepsi orang ramai kursus itu adalah bagi mereka yang tidak cemerlang dalam akademik, namun persepsi ini semakin terhakis kerana banyak kerajaan di dunia sedang mengiktiraf kepentingan pemerkasaan bidang TVET.