Sesi dialog ini adalah salah satu daripada siri Cakna Negaraku, yang bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan berkaitan demokrasi serta ancaman populisme dalam demokrasi kepada belia Malaysia. 

Dalam dialog ini, mahasiswa berpeluang menyuarakan kehendak dan pendapat mereka tentang apa yang anak muda mahukan daripada parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Antara yang dibangkitkan adalah tentang penambahbaikan sistem pendidikan di dalam negara, isu biasiswa kepada pelajar dan mahasiswa, isu jaminan pekerjaan serta ancaman daripada lambakan pendatang asing di Malaysia, isu perumahan dan tekanan ekonomi bagi belia, juga keperluan untuk lebih ramai calon dan pemimpin muda diketengahkan dalam pilihan raya yang akan datang. Dialog bermula dengan pembentangan oleh Timbalan Presiden MBM, Jufitri Joha, berkenaan apa itu demokrasi dan ancaman  populisme, disusuli dengan sesi dialog yang dikendalikan oleh Exco MBM, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid. 

Ahli panel pula terdiri daripada Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Abdul Basit Mohamed Mokhtar, wakil Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Raub, Iman Norhizam dan Pensyarah UiTM Kampus Raub, Akmal Abdul Rahim.

Dialog sehari yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden MBM, Zaidi Abdul Aziz itu turut dihadiri Penolong Rektor UiTM Raub, Dr. Khairi Khalid selain 350 orang pelajar dan pensyarah daripada universiti berkenaan.