Mohd. Syahbuddin tidak asing lagi dalam kalangan belia dan pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memandangkan beliau juga ialah Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM).

Penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2016 dan Anugerah Belia ASEAN 2016 itu juga sememangnya cukup dikenali di Gua Musang kerana sering menganjurkan program-program kebeliaan dan aktiviti khidmat masyarakat di daerah itu.

Menurut Setiausaha Agung MAYC Kebangsaan, Wan Khatijah Shavouroza Mior Idris,  pencalonan ini membuktikan bahawa kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar ingin memberi ruang dan peluang kepada golongan muda.

Naib Presiden MAYC Kebangsaan, Yazid Buang yang dihubungi berkata, pemilihan ini cukup tepat bagi memberi peranan kepada golongan muda untuk melakar aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Dalam pada itu, Mohd. Syahbuddin ketika mengulas pencalonannya mengucap syukur ke hadrat Allah SWT.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Mustapa Mohamed atas pencalonan ini. Tidak lupa juga keluarga dan sahabat handai yang banyak memberi sokongan selama ini. Insya-Allah, saya akan bekerja keras bagi memastikan agar DUN Galas ini kekal milik BN," katanya.

Tambah beliau lagi, pencalonan ini menunjukkan kepada golongan muda dan aktivis belia bahawa BN sememangnya serius dalam menghargai usaha-usaha mereka selama ini.